Pulangnya Saleem ke rahmatullah bukan saja dirasai peminat di kalangan orang ramai sebaliknya turut terkesan ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Melalui hantaran di media sosial Lim berkata beliau mempunyai kenangan manis dengan lagu Saleem bersama kumpulan Iklim, terutama Suci Dalam Debu.
Malah kata setiausaha agung DAP itu semasa masih menjadi ahli politik pembangkang lagu-lagu Saleem menjadi peneman jiwanya.
"Lagu allahyarham bersama Iklim, Suci Dalam Debu, merupakan kenangan manis buat saya pada awal 1990-an.
"Ketika berjuang sebagai pembangkang, lagu-lagu Saleem menemani jiwa saya. Malah, beberapa lagu rock allahyarham juga menawan hati," katanya dalam catatan ringkas awal petang ini.
Saleem - atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed - menghembus nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Dia dirawat di hospital berkenaan ekoran terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Sept lalu.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni banyak lagu yang didendangkan penyanyi berasal dari Setiu, Terengganu itu menjadi kegemaran ramai.
Selain bersama Iklim Saleem juga menghasilkan beberapa album secara solo.
Antara lagu popularnya ialah Juwita, Di Pintu Mahligai, Blues Terengganu Kita dan Bunga Emas.
Kata Lim beliau berasa amat sedih dan kehilangan Saleem itu memang dirasai.
"Semoga allahyarham tenang abadi di sana. Salam takziah buat keluarga Saleem," kata Lim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan