HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Oktober 2018

Najib: Mat Sabu cuba dakwa Guan Eng tipu?

MALAYSIAKINI


   

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membangkitkan dakwaan percanggahan kenyataan dua menteri kabinet Pakatan Harapan dalam isu hutang negara.

Ini susulan kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mendakwa hutang kerajaan sebenarnya lebih daripada RM1 trilion seperti dinyatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Adakah Mat Sabu dakwa Lim Guan Eng ialah seorang penipu?

“Ataupun maksud Mat Sabu ialah nilai hutang negara boleh ditukar-tukar sesuka hati oleh kerajaan HARAPAN?” soal Najib.




Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pada 12 Oktober lalu berkata, hutang yang lebih besar daripada RM1 trilion terpaksa di­sembunyikan supaya Malaysia tidak muflis.

Katanya, hakikat yang berlaku sekarang yang jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece, lapor Utusan Malaysia.

“Parah ini (hutang) saya rasa akan berterusan untuk setahun dua yang akan datang, bila hutang yang sebenar pun terpaksa kita sembunyikan lagi.

“Yang diumumkan RM1.04 trilion itu hanyalah yang begitu nyata, tetapi ada lagi banyak lagi yang kalau diumumkan kesemua kita bimbang kita sudah menjadi negara seperti Greece,” beliau dipetik sebagai berkata.

Menulis di Facebook, Najib berkata secara amnya, Mohamad kena tahu bahawa pelabur-pelabur asing tidak minat untuk melabur di negara muflis tetapi disembunyikan.

Pelabur juga, kata anggota parlimen Pekan, tidak minat kepada kerajaan yang suka menyembunyikan keadaan sebenar ekonomi.

Najib turut mengingatkan Mohamad bahawa beliau bukan lagi pembangkang yang boleh mengeluarkan apa-apa tohmahan sesuka-hati.

“Dia sudah berpangkat Menteri dan itu pun bukan calang-calang menteri tetapi menteri pertahanan negara - satu jawatan yang amat penting dan disanjung tinggi.

“Oleh itu, Mat Sabu perlu lebih bertanggungjawab dengan kenyataannya kerana mungkin memberi kesan negatif kepada negara,” katanya.

Kerajaan BN sebelum sebelum ini berkata hutang kerajaan berjumlah RM688 bilion.


Tiada ulasan: