HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Oktober 2018

Orang kaya wajib bantu negara

Datuk A Kadir Jasin




ADA tiga isu penting yang hendak saya bincang minggu ini – pengurusan kewangan negara, sikap angkuh MMC-Gamuda dan kenaikan harga barang walaupun GST sudah dihapuskan.

Kewangan negara dan kebajikan rakyat jelata adalah isu pokok dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 2 November ini.

Inilah belanjawan kerajaan pusat pertama sejak 1957 yang tidak dibentangkan oleh Barisan Nasional atau pendahulunya Perikatan.  Dan pastinya inilah juga antara belanjawan yang paling mencabar dalam sejarah negara kita.

Dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu akibat perang dagang di antara Amerika Syarikat dan China serta hutang negara yang melebihi RM1 trilion (RM1,000,000,000,000), kerajaan menghadapi cabaran yang sangat getir dalam usaha mengimbangkan hasil dengan perbelanjaan.

Adalah dijangkakan yang defisit belanjawan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat dan beberapa sumber hasil baharu terpaksa diperkenalkan, termasuk dalam bentuk cukai baharu.

Tetapi kita harap kerajaan memikirkan sedalam-dalamnya dan dengan penuh kepekaan kerana kita tidak mahu rakyat jelata, khususnya golongan berpendapatan rendah, dibebankan semula oleh cukai yang hendak diperkenalkan itu.

Salah satu faktor yang menarik sokongan rakyat jelata kepada Pakatan Harapan dalam RUU14 9 Mei lalu adalah janji menghapuskan GST yang sudah pun dilaksanakan.

Tentulah sukar bagi rakyat jelata menerima beban cukai baharu setelah GST dimansuhkan dan digantikan dengan SST, tetapi harga banyak jenis barang dan perkhidmatan masih tidak turun sebaliknya ada yang naik.

Dalam hal ini, saya terpaksa mempersoalkan kesungguhan dan keberkesanan kementerian, jabatan dan agensi yang bertanggungjawab terhadap bekalan dan kawalan harga.

Mereka sepatutnya lebih cergas menangani masalah harga barang dan perkhidmatan yang tidak turun walaupun GST telah dihapuskan, sebaliknya naik kerana perbuatan jahat dan khianat peniaga mencari keuntungan berlebihan.

Saya tidak akan menerima alasan mereka sebelum ini adalah pembangkang jadi tidak ada pengalaman praktikal mengawal harga dan bekalan.

Sebaliknya, saya rasa kalau dulu mereka menampilkan diri sebagai pembela dan penyelamat rakyat jelata dengan mengecam kerajaan, sekarang adalah masa mereka membuktikan yang mereka lebih cekap dan gigih.

Tidak perlu beri banyak alasan. Buat sajalah apa yang mereka tuduh kerajaan dahulu tidak buat. Kotakan apa yang mereka janjikan. Jangan sampai dituduh cakap tidak serupa bikin.

Minta maaflah kalau saya kata, tindakan kementerian yang menjaga hal ehwal pengguna dan perdagangan dalam negeri belum cukup meyakinkan. Rasanya dulu lebih banyak serbuan, pemeriksaan dan penyitaan kedai yang melakukan kesalahan harga, jenama dan bekalan.

Berbalik kepada belanjawan, kerajaan masih mempunyai ruang untuk berjimat cermat, merasionalisasikan perbelanjaan dan memperkenalkan cukai baharu.

Misalnya subsidi petrol wajib segera dirasionalisasikan. Adalah tidak adil dan membazir bagi kerajaan memberi subsidi kepada orang kaya yang menggunakan kenderaan mewah 3,000 atau 4,000 CC.

Hadkan subsidi kepada kenderaan berkapasiti rendah, motosikal dan untuk kegunaan ekonomi seperti subsidi diesel untuk nelayan.

Orang kaya yang mendapat faedah besar daripada dasar pro-perniagaan kerajaan dan menerima pelbagai kontrak serta konsesi sepatutnya bersedia membantu negara dan rakyat jelata yang menjadi pekerja dan pelanggan mereka.

Biarlah saya kata macam ini. Tidak ada seorang pun usahawan Malaysia – tidak kira bangsa – yang didewa-dewakan sebagai pandai berniaga yang tidak mendapat bantuan kerajaan.

Semuanya – termasuklah pemilik MMC dan Gamuda yang sekarang sangat angkuh itu – menerima bantuan kerajaan. Hatta Robert Kuok Hock Nien itu pun menjadi kaya-raya kerana bapanya, Kuok Keng Kang, mendapat francais beras, gula dan gandum daripada kerajaan Johor pada zaman penjajahan.

Jadi sama ada MMC, Gamuda atau mana-mana syarikat dan konglomerat sekali pun tidak perlulah angkuh dan sombong.

Ingatlah, MMC-Gamuda – gabungan Melayu-Cina - tidak akan menjadi operator mesin penggali terowong (TBM) di negara kita ini kalau kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada tahun 2001, tidak merancang projek Terowong Smart.

Jadi tidak perlulah tauke, usahawan dan eksekutif perniagaan Malaysia yang mendapat “leg-up” daripada kerajaan, khususnya daripada Dr Mahathir, bertindak sombong seolah-olah kekayaan mereka turun dari langit.

Jadi amat sesuailah orang kaya dan syarikat anak didik seperti MMC-Gamuda membayar cukai yang lebih banyak kepada kerajaan sebagai tanda terima kasih kepada Malaysia. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara
 
 

Tiada ulasan: