HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Oktober 2018

PRK PORT DICKSON BUKAN PEMBAZIRAN – PKR



Pakatan Harapan (PH) mempertahankan perbelanjaan sebanyak RM3.6 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjayakan PRK Port Dickson bukan satu pembaziran.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, PRK  yang dijalankan ini adalah satu bentuk demokrasi, bukannya membazir.

Beliau berkata, niat dan motif melaksanakan PRK itu juga adalah bagi sinambungan kepemimpinan kerajaan PH selaras dengan pemeteraian perjanjian politik PH pada 6 Januari lalu.

“Ia untuk menyediakan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Mungkin beliau (Saiful Bukhari) mempunyai pandangan tersendiri,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama di Port Dickson, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan yang berasa malu kerana pesaingnya dalam PRK, Anwar menggunakan duit rakyat untuk mengangkat agenda peribadi.

‘Serangan’ Saiful itu turut mempersoalkan sama ada Anwar mempunyai maruah kerana memutuskan untuk bertanding di Port Dickson.

Menurut Fahmi, rakyat di negara ini mempunyai hak mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.

PRK Port Dickson diadakan selepas bekas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga merupakan Presiden PKR, bertanding di situ.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fahmi turut meyakini kesihatan Anwar berada dalam keadaan baik sepanjang kempen berjalan.

“Dia manusia bionik yang memiliki bahu sekuat titanium,” katanya.


Tiada ulasan: