Seorang wartawan veteran berkata seandainya ada orang Umno tertanya-tanya mengapa generasi muda enggan mendekati parti itu jawapannya ada pada gambar seorang wanita berbaju T oren semasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Kata Mustapha Kamil Mohd Janor pemimpin Umno boleh melihat sendiri wanita terbabit yang menggayakan baju oren bertulis Lokap SRPM itu.
Katanya jika begitulah perangai parti Umno pada 2018, tidak dapat dipastikan ke mana parti itu mahu membawa orang Melayu yang menjadi penyokongnya.
"Anda tengoklah sendiri dan tanya diri anda: jika beginilah perangai parti orang Melayu pada tahun 2018 ini, ke manakah agaknya ia (Umno) nak bawa bangsa kita ini pergi?" katanya pada salah satu hantaran di Facebook hari ini.
Umno mengadakan perhimpunan agung tahunannya selama dua hari mulai 29 Sept lalu.
Ia berlangsung ketika Umno dan BN tidak lagi mendapat mandat daripada rakyat untuk terus menjadi kerajaan.
Perhimpunan itu juga berlangsung ketika beberapa pemimpin kanan Umno direman untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tanya generasi muda
Ketika ini bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sedang ditahan di lokap agensi antirasuah berkenaan.
Abdul Azeez yang mempunyai profil tinggi sebagai pemimpin Umno ditahan reman oleh SPRM selama empat hari mulai 26 Sept lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung reman Abdul Azeez selama enam hari lagi mulai 29 Sept.
Tidak seperti Datuk Seri Najib Razak yang juga pernah ditahan SPRM, Abdul Azeez muncul di mahkamah dengan berbaju oren serta bergari.
Turut ditahan ialah abang Abdul Azeez.
Penahanan itu memberi ilham kepada anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang menggalakkan penyokong parti itu memakai baju oren sebagai tanda kebersamaan dengan Abdul Azeez.
Bagaimanapun untuk nota, baju oren versi Lokman itu tidak bertulis Lokap SPRM, sebaliknya Lokap SRPM di bahagian depan, manakala di belakang tertera ayat bersemangat "Biar jasad terpenjara, namun jiwa tetap merdeka."
Seorang wanita menyarungkan baju berkenaan pada hari penutup persidangan agung Umno di PWTC semalam.
Kata Mustapa Kamil tidak dapat dipastikan mengapa baju tersebut memaparkan akronim SRPM.
Namun kata bekas pengarang kumpulan New Straits Times itu menegaskan, ia adalah isu lain yang kurang penting.
"Yang saya nak kata, jika pembesar-pembesar Umno betul-betul turun padang dan tanya generasi muda mengapa mereka tak berminat menyertai parti itu, jawapannya ada pada gambar mak cik ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan