HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Oktober 2018

SPRM, PDRM beri tumpuan kes utama

Bernama

xdrm
Dr Mahathir Mohamad ketika berucap mengenao “Masa Depan Demokrasi di Asia” di Chatham House . foto Bernama
LONDON. – Agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengendalikan kes yang terlalu banyak dan terpaksa menentukan kes keutamaan untuk didahulukan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memberikan dakwaan penyelewengan wang kerajaan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh kes prioriti, Dr Mahathir berkata, kes berkenaan disiasat SPRM serta PDRM dan agensi berkenaan tidak perlu melaporkan kepadanya.

“Mereka bertindak melalui AG (peguam negara), mereka sudah sampaikan maklumat kepada AG, AG jalankan tugas (untuk mendakwa),” katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja siri keduanya ke United Kingdom pada Isnin.

Dr Mahathir berkata, sebarang tindakan perlu mengikut undang-undang dan kerana itu ia akan mengambil masa untuk melalui proses tertentu.

“Kalau setakat dengar cerita sahaja pergi mahkamah mungkin boleh kalah.Kita perlu tentukan segala dokumentasi berkenaan kejadian itu, siap sedia dikemukakan kepada mahkamah supaya mahkamah buat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Mengenai kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Dr Mahathir berkata setakat ini, ia belum libatkan United Kingdom.

Kes 1MDB telah menarik minat beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland untuk menyiasat.

Ditanya sama ada terdapat individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB berada di United Kingdom, Dr Mahathir berkata: “Barangkali tidak.”

Beliau berkata, kes 1MDB adalah terlalu banyak dan akan mengambil masa yang panjang.
“Mahu pergi ke mahkamah, kena ada bukti yang tidak boleh diketepikan,” katanya.

Mengenai pemburuan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, Dr Mahathir berkata : “Kita cari dia tapi kita tak jumpa dia di mana.”

Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Setiausaha Kabinet Britain Mark Sedwill di Whitehall pada Isnin, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada kaedah di UK mengenai pihak berkuasa yang memilih pegawai tinggi kerajaan dan tindakan terhadap masalah keganasan dapat dilaksanakan di Malaysia. – Bernama


Tiada ulasan: