THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Persoalan tentang kesan laporan media bahawa Malaysia berkemungkinan akan dimasukkan dalam senarai negara memanipulasi mata wang Amerika Syarikat, terhadap ekonomi negara, akan membuka tirai persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang mengajukan soalan itu juga mahukan penjelasan daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng tentang langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu berkenaan.
Juga menarik pada persidangan hari ini adalah penjelasan kerajaan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap individu yang menghina dan mempertikaikan tugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dibangkitkan oleh Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit).
Turut dijangka mencuri perhatian adalah soalan yang diajukan oleh Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin mengetahui tentang dana sebenar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pendidikan setiap tahun dan jumlah pecahan agihannya.
Sebaik selesai sesi soal jawab lisan, tujuh lagi kementerian dijadual akan terlibat dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020, antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Kerja Raya.
Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.—Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan