“Duduk di rumah,” demikian rayuan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang mahukan semua rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diaktifkan bermula hari ini.
“Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.
“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih jika kita mempunyai sikap “tidak kisah”, katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Berada di barisan paling hadapan dalam menangani krisis paling mencabar ketika ini, Noor Hisham dan para petugas kesihatan Malaysia mempunyai sebab yang kukuh untuk meminta semua rakyat bersungguh-sungguh memastikan pandemik Covid-19 yang telah mengorbankan dua nyawa itu dapat dikekang.
Bertugas siang dan malam tanpa rasa lelah, Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa setiap pesakit dan menyebarkan maklumat-maklumat penting kepada rakyat supaya virus pembunuh itu tidak terus menular.
Namun, kedegilan orang awam sendiri yang mengambil sikap tidak endah menyebabkan Covid-19 terus menggila sehingga menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merekodkan kes terbanyak di Asia Tenggara.
“Hari ini adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Dengan kata-kata mudah, sila duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain.
“Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan