HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Mac 2020

Rakyat makin risau kesan Covid-19

Wartawan MalaysiaGazette
MGF08122017_DATUK-DR-NAJMIL-FAIZ_02
Dr Najmil Faiz Mohamed Aris


KUALA LUMPUR – Laporan Asian Development Bank telah menunjukkan kemerosotan ekonomi yang dialami negara di benua ini akibat pelunaran wabak Covid-19 ini apabila Malaysia turut mengalami 0.23 peratus kemerosotan dari keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, senario itu  pasti memberi impak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara apabila sektor-sektor utama terjejas seperti pelancongan yang menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu.

Jelas beliau, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KDNK akan berkurangan sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus tahun ini iaitu penurunan sebanyak RM10.8 bilion hingga RM17.3 bilion walaupun ekonomi negara dijangka masih kukuh dengan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sebanyak RM20 bilion.

“Kerajaan perlu memastikan penularan wabak ini tidak menjejaskan kelangsungan hidup rakyat Malaysia terutama sekali mereka yang bekerja di sektor yang terjejas teruk.

“Pada masa yang sama, pemain industri juga perlu sentiasa memikirkan kebajikan pekerja di mana cuti tanpa gaji atau pengurangan gaji ketika terjejas dengan gelombang Covid-19 adalah lebih baik daripada mereka kehilangan pekerjaan jika Covid-19 berterusan,” katanya di laman Facebook miliknya.

Najmil yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu tutut memuji inisiatif kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) yang memberi bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan kepada pekerja yang terjejas amat dihargai.

“Di samping kerajaan bertungkus lumus mengawal penyebaran wabak ini, aspek kebajikan rakyat juga perlu kita tekankan di mana rata-rata rakyat Malaysia sudah mula risau tentang kelangsungan hidup mereka jika Covid-19 berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: