HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Mac 2020

COVID-19: Malaysia sekat kemasukan rakyat Denmark



PERLU dilakukan walaupun berstatus sementara demi keselamatan rakyat negara kita sendiri.Mulai esok, kerajaan Pakatan Nasional (PN) menyekat masuk rakyat Denmark sepenuhnya ke Malaysia.

Tindakan yang diambil ini selaras dengan status  ‘lockdown’ di negara tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof.

Memetik laporan BERNAMA, Denmark menjadi negara keempat memasuki senarai sekatan perjalanan selepas Itali, Iran dan Korea Selatan dalam usaha kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Semalam, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen mengumumkan sekatan perjalanan keluar masuk  di negara itu berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.

Setakat ini negara tersebut mencatat 514 kes sementara jumlah mangsa yang dikuarantin sebanyak 1,303 orang.

Mohd. Redzuan berkata sekatan itu turut merangkumi warganegara asing lain yang datang dari negara tersebut atau transit di mana-mana pintu masuk negara.

Beliau berkata, rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Denmark, akan dikenakan perintah kuarantin sendiri, selama 14 hari.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Denmark sekiranya perjalanan berkenaan tidak mendesak atas faktor risiko, mendapat jangkitan semasa berada di negara terbabit,” katanya .

Mohd Redzuan berkata, sekatan perjalanan sepenuhnya itu tidak dikuatkuasa serta merta, kerana pihaknya perlu memaklumkan Kedutaan Denmark di Malaysia terlebih dahulu.

Beliau berkata, mana-mana rakyat Denmark atau warganegara lain yang tiba di negara ini, dari transit di negara ketiga, selepas berlepas dari negara terbabit (Denmark), juga dikenakan sekatan itu.

Mohd Redzuan berkata selepas Denmark, kerajaan juga dijangka akan mengumumkan senarai negara yang akan turut dikenakan sekatan perjalanan selepas mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. – SM

Tiada ulasan: