Gerakan meminta kerajaan melaksanakan semula GST tetapi pada kadar lebih rendah.
KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyarankan
kerajaan agar menimbang semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) dengan kadar lebih rendah iaitu tiga peratus ke bawah serta
menggantung bayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk sementara
waktu.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata langkah itu dapat merangsang semula perkembangan ekonomi dalam negara.
“Pengecualian cukai keuntungan industri korporat dan swasta
juga perlu dilaksanakan sehingga keadaan ekonomi pulih,” katanya dalam
kenyataan di sini yang menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet
baharu.
Hari ini, kesemua 31 menteri kabinet mengangkat sumpah jawatan di
hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah di Istana Melawati.
Majlis itu berlangsung susulan pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Lau juga meminta kerajaan Perikatan Nasional membantu menjana
pendapatan rakyat dengan meningkatkan pengeluaran semua industri
domestik bagi menggalakkan perkembangan ekonomi Malaysia.
“Tingkatkan peruntukan dan bantuan sara hidup sehingga RM1,500 kepada
individu dan seisi keluarga untuk meringankan beban rakyat dalam
menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya.
Meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan, Lau mahu kerajaan segera
menggalas tanggungjawab menangani isu COVID-19 dengan melaksanakan
pelan insurans perlindungan kesihatan kepada semua rakyat Malaysia bagi
membendung kes penularan wabak seumpama itu.
“Oleh itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia sangat berharap kerajaan
baharu segera fokus melaksanakan tugas demi masa depan negara selepas
istiadat angkat sumpah hari ini,” kata beliau.
Lau berkata parti itu amat bersyukur kerana pelantikan tersebut
terdiri daripada kalangan teknokrat dan individu berkaliber untuk
portfolio yang disandang.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan