Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan kabinet baru diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai 'terdesak'.
Anwar berkata demikian sebagai merujuk 70 anggota yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri semalam.
"Kabinet ini dilihat terdesak (kerana) dengan memberikan jawatan dengan mudah kepada seramai kira-kira 70 orang menteri dan timbalan menteri berbanding PH.
"Kabinet yang dipilih bukan dengan restu serta mandat rakyat kerana rakyat tidak memilih kerajaan ini," katanya dalam klip video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan 31 menteri dan 39 timbalan menteri akan membarisi kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Rata-rata pemimpin PH mengkritik kabinet Muhyiddin sebagai terlalu ramai, dengan membandingkan kabinet di bawah kerajaan sebelum ini yang hanya mempunyai 56 ahli.
Dalam hantaran Facebook berasingan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mempersoalkan dakwaan yang mengatakan kabinet PN sebagai "bersih".
"Saya nak tanya ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mana yang kata dan jelaskan barisan ini bersih?
"Apakah aspek dan sisi yang diambilkira oleh SPRM dengan mengisytiharkan kabinet ini ‘bersih’?
"[...] Yang helikopter hilang itu, besar kes dia. Yang lain semua terpalit," katanya, dipercayai merujuk kepada Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein.
Media sebelum ini melaporkan pembelian helikopter tentera bernilai RM300 juta yang dibuat ketika pentadbiran BN yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.
Sebanyak enam buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas dipesan ketika Hishamuddin menjadi menteri pertahanan.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 9 Mac lalu mendedahkan bahawa beliau dimaklumkan barisan baru menteri hanya terdiri dari individu yang melepasi tapisan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Asri menjelaskan bahawa makluman itu diberitahu oleh Muhyiddin sendiri, sewaktu perbualan makan malam di rumah presiden Bersatu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan