HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Mac 2020

Lim gesa Muhyiddin buat siaran langsung Covid-19 setiap hari

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman langsung setiap hari untuk menyampaikan perkembangan terkini berkenaan wabak Covid-19 kepada semua rakyat Malaysia sehingga berakhirnya perintah kawalan pergerakan.

Katanya, siaran langsung itu boleh dilakukan dua kali sehari sekiranya keperluan timbul.

“Siaran langsung kedua Muhyiddin yang berlangsung (malam) semalam sepatutnya dilakukan pada tengahari Selasa, sebelum perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa bagi menunjukkan bahawa bencana ini dalam suatu keadaan yang terkawal,” Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Siaran langsung beliau malam tadi akan lebih berkesan jika beliau mengambil tanggungjawab terhadap kekhilafannya dalam menguruskan krisis ini yang telah mendatangkan kekecohan dan perasaan panik di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya pada hari Selasa.”

Lim berkata kesilapan itu telah mendatangkan kekecohan dan perasaan panik di kalangan rakyat Malaysia yang berpusu-pusu ke pasaraya untuk membeli bekalan makanan asas.

Ini kemudiannya disusuli pula dengan barisan panjang di balai polis oleh mereka yang berhasrat untuk mendapatkan kebenaran untuk pulang ke kampung. Ini walau bagaimanapun kemudiannya ditarik balik oleh kerajaan.

“Selain itu, penutupan asrama universiti pula telah memaksa para pelajar untuk pulang ke kampung halaman, ketiadaan perlindungan untuk pekerja berpendapatan rendah, ketiadaan persediaan untuk penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan, dan kekurangan koordinasi dua hala untuk rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura,” katanya.

Lim yang juga adalah ahli parlimen Iskandar Puteri mengingatkan anggota jemaah menteri bahawa mereka seharusnya menjadikan bencana itu sebagai agenda paling penting dan memikirkan apakah yang boleh dilakukan oleh kementerian masing-masing.

“Setiap hari, setiap menteri perlu fokus tentang apa yang boleh dibuat oleh kementerian mereka untuk membantu rakyat dalam perang membendung Covid-19 ini.

“Untuk itu, kabinet patut mengadakan mesyuarat setiap hari sehinggalah perang Covid-19 ini kita menangi, dan rakyat patut dimaklumkan menerusi siaran langsung tentang perkembangannya”.

Kata Lim, Malaysia tidak sepatutnya tewas dalam perang “pembendungan” Covid-19 itu dan juga harus memenangi perang “mitigasi”.

“Sebab itulah sekarang bukan masa mencari salah sesiapa, semua rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama, kawasan, politik dan latar belakang sosiosekonomi, mesti bersatu sebagai satu bangsa untuk melawan Covid-19.”

Muhyiddin, dalam siaran langsung semalam, merayu rakyat agar duduk di rumah sepanjang dua minggu tempoh perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa semalam.

Ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, meluaskan risiko penyebaran virus itu, malah masih ada yang dilihat makan di gerai makan seperti biasa.

Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan tiga digit kes Covid-19 untuk hari keempat berturut-turut, menjadikan jumlah kes sebanyak 790 kes. Sebanyak 117 kes baru dicatatkan semalam.

Tiada ulasan: