WAWANCARA | Sebelum
kemelut politik yang tercetus minggu lalu, yang membawa kepada
runtuhnya kerajaan PH, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin telah
melakukan usaha untuk menjadi perantara dalam konflik antara Presiden
PKR Anwar Ibrahim dan bekas timbalannya, Azmin Ali.
Anggota parlimen PKR itu berkata demikian dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.
Maria
mendedahkan beliau antara anggota PKR yang mahu melihat parti itu
bersatu, justeru cuba memainkan peranan sebagai pendamai.
Bekas
pengerusi Bersih itu berkata, hubungannya dengan Anwar dan Azmin telah
bermula sejak penglibatannya sebagai aktivis Bersih kerana kedua-duanya
membantu gabungan NGO itu dalam himpunan anjurannya.
"Saya
mahu lihat kedua-dua mereka dapat kerja bersama-sama, jika tidak
bagaimana kita dapat mentadbir negara bila parti kita berpecah?”
"Saya
bercakap dengan kedua-dua pihak untuk lihat sama ada penyatuan dapat
dicapai. Salah satunya sewaktu kongres parti (pada Disember 2019), untuk
meminta mereka bersama-sama, dan ia terjadi buat seketika," katanya.
"Sebelum
kongres, mereka telah bertemu dan berbincang tentang bagaimana untuk
mengadakan kongres," katanya, sambil menambah beliau pada mulanya
merasakan ia akan berjalan dengan lancar.
Maria merujuk pertemuan antara Anwar dan Azmin sebelum kongres, di mana mereka berdua dilaporkan mencapai 'gencatan senjata'.
Bagaimanapun keadaan bertukar menjadi buruk apabila pergaduhan tercetus sebelum Kongres Pemuda PKR, langkah Azmin dan penyokongnya keluar dari dewan ketika kongres PKR berlangsung.
Selepas
insiden itu, Maria antara pemimpin PKR yang berada dalam sidang akhbar
Azmin. Ia menimbulkan tanggapan bahawa beliau berada dalam kem bekas
menteri hal ehwal ekonomi itu.
Maria bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Menurut
Maria, keberadaannya di pihak Azmin semasa kongres PKR adalah kerana
kecewa dengan pergaduhan di kongres Pemuda PKR dan rentetan peristiwa
sekitar acara itu.
Maria juga dilihat ada di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 23 Februari lalu, yang menandakan permulaan kejatuhan kerajaan PH.
Beliau telah menjelaskan bahawa kehadirannya adalah untuk menghalang pembentukan kerajaan 'pintu belakang'.
Beliau
berkata kem Azmin tidak memintanya untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad
dan kemudiannya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Katanya,
beliau hanya menandatangani empat akuan bersumpah - tiga untuk Anwar
mejadi perdana menteri dan satu untuk menyokong Mahathir memegang
jawatan itu.
"Saya sokong pelan peralihan kuasa, jika tidak saya tak akan tandatangan SD," katanya lagi.
Mengimbas
semula 'Langkah Sheraton', Maria berkata Azmin sebahagian daripada
komplot itu dan telah mengkhianati rakyat Malaysia memandangkan mereka
memilih PH, bukannya Perikatan Nasional (PN).
"Saya sangat marah
terhadap apa yang telah dilakukannya kepada negara kita. Ia bukan
tentang Anwar dan parti sahaja. Rakyat telah meletakkan harapan yang
besar kepada kita dan dia telah mengkhianatinya,” katanya lagi.
"Apabila saya mendengar perkara itu, saya menangis sepanjang hari (sehingga) anak saya tidak tahu nak buat apa," katanya.
Langkah
Azmin dan kumpulannya untuk meninggalkan PKR tidak disusuli semua
pengyokongnya. Naib presiden Tian Chua, yang dikenali sebagai penyokong
setia Azmin, telah diserang oleh anggota parti yang tidak puas hati dengan apa yang berlaku.
Maria berkata, Tian Chua tidak sewajarnya diserang hanya kerana mempunyai pandangan yang berbeza.
Menurutnya,
PKR harus mula menyatukan semua ahlinya untuk berdepan cabaran di
depan, dan bukannya memecah-belahkan separuh daripada 'bala tentera'.
"Saya
rasa presiden (Anwar) juga merasakan hal sama kerana beliau juga
menyeru supaya kita bersatu dan terus membangunkan parti serta menangani
krisis negara ini," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan