HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Mac 2020

Pilih Muhyiddin bagi halang penipuan

HARAKAHDAILY




KUALA LUMPUR: Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS dan Umno memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi menghalang satu penipuan.

Beliau berkata, kononnya ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada mulanya menyokong Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Kemudian kata Ahli Parlimen Marang itu, mereka menarik semula sokongan terhadap Tun Mahathir lalu meletakkan calon pilihan mereka iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kami membuat keputusan untuk memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi menghalang pusingan U yang dibuat dua kali.

“Sekali sokong Tun Mahathir, sekali tak sokong Tun Mahathir. Ini satu penipuan yang nyata.
Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya dengan cara demokrasi bukan cara pintu belakang,” kata Tuan Guru Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Presiden PAS yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi berkata kerajaan baharu yang berjaya dibentuk ini adalah menurut Perlembagaan yang sah.

Justeru itu, katanya berlakulah perubahan yang sangat menarik yang tidak mengorbankan rakyat dan tidak menyusahkan rakyat.

“Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya membentuk Kabinet Perpaduan Umat yang terdiri daripada parti-parti politik yang terlibat dalam perubahan ini.

“Bukan sahaja jumlah wakil rakyat yang dipilih rakyat termasuklah jumlah parti-parti politik yang berbagai,” katanya.

Terlebih dahulu, beliau dalam perutusannya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bekas Perdana Menteri ke-7 yang berjasa memainkan peranan menyelamatkan negara.

Katanya, semasa Tun Mahathir memimpin, negara dalam keadaan yang sangat mencabar dengan keputusan Pilihan Raya Ke-14 yang tidak diramalkan tanpa diduga.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi, Tun Mahathir bersama satu gabungan yang sangat rapuh merupakan tokoh yang telah berjaya menukar kerajaan sebelum ini.

“Tidak boleh dinafikan kerana sebelumnya tokoh-tokoh yang lain cuba dikemukakan (tetapi) gagal.
“Bila nama beliau dicalon sebagai Perdana Menteri, maka berlaku satu perubahan.

“Di samping isu-isu lain yang mempengaruhi rakyat termasuk dengan cara tidak bersih dalam demokrasi yang diamalkan melalui media sosial, fitnah dan sebagainya, maka berlakulah perubahan begitu rupa,” kata Tuan Guru Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: