Pelantikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri diharapkan dapat menyelesaikan isu identiti Nur Sajat yang kini dirujuk ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pencetus Ummah (PU) Amin berharap, Zulkifli boleh menunjukkan kebenaran selain tidak membiarkan isu menghimpit usahawan kosmetik itu terhenti di tengah jalan.
“Ada perkara yang masih belum diselesaikan. Berikan ruang dan masa. Kita perkasakan kedudukan mufti dan menteri agama kita.
“Moga ada jawapan dan tindakan yang sewajarnya dalam hal ni. Semoga Allah beri jalan kebaikan kepada semua anak bangsa dan keturunan kita.
“Supaya yang kotor dapat dibersihkan. Yang benar ditunjukkan. Yang salah diambil pengajaran. Insya-Allah, ia tidak terhenti di tengah jalan. Pada Allah kita berserah,” katanya di Instagram.
Setakat semakan Malaysiakini hingga petang ini, hantaran itu menerima lebih 21,000 tanda suka dan lebih 300 komen.
Terdahulu, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman mencetuskan kontroversi apabila menunaikan ibadah umrah memakai telekung.
Tindakan penyanyi Makhluk Penggoda itu berkongsi perkembangannya di Tanah Suci melalui media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Nur Sajat pula mendakwa dia pernah cuba menyelesaikan isu identitinya sebelum ini kepada pihak berkuasa namun alasan diberikan kes itu berprofil tinggi.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pihaknya sudah memohon kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu kontroversi Nur Sajat itu.
Sementara itu, pelakon Yatt Hamzah pula memanjatkan perasaan syukur dengan pelantikan Zulkifli kerana impiannya untuk melihat seorang tokoh yang benar-benar layak memegang jawatan itu menjadi kenyataan.
Katanya, sesuai dengan keperibadian Zulkifli, dia berharap tokoh agamawan itu berkebolehan menegakkan lagi syiar agama Islam di negara ini.
“Sungguh aku sebak. Akhirnya apa yang ku impikan jadi nyata... agar seorang figura yang benar-benar beragama menjadi Menteri Agama.
“Moga dakwah Islam terus mekar dijulang. Dakwah yang meraikan kepelbagaian bangsa dan agama,” katanya.
Zulkifli dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan menguruskan hal ehwal agama. Beliau dibantu oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary dari PAS sebagai timbalan.
Zulkifli, 51, telah berkhidmat sebagai mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 dan dilihat sebagai tokoh agama yang moderat.
Selain PU Amin dan Yatt, beberapa selebriti lain turut menyatakan sokongan ke atas pelantikan Zulkifli itu seperti Adibah Noor, Daphne Iking, Angah Raja Lawak, PU Hafiz, dan PU Syed.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan