ULASAN
| Artikel saya kali ini bukan tentang politik atau seumpamanya. Tulisan
ini semata-mata mengenai bagaimana kita dapat bertindak untuk memerangi
penyebaran wabak virus Covid-19.
Pertama, tahniah
diucapkan kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan, yang dipimpin
oleh Ketua Pengarah (Dr Noor Hisham Abdullah, atas usaha tanpa mengenal
penat lelah untuk membendung peningkatan jumlah jangkitan di kalangan
penduduk.
Tetapi usaha mereka tidak wajar dibiarkan terjejas kerana kegiatan segelintir pihak dalam masyarakat, yang tampaknya tidak peduli mengenai kebajikan orang lain, dan fokusnya menyimpang daripada apa yang sepatutnya menjadi tumpuan negara untuk mengatasi masalah-masalah nasional!
Individu
dan kumpulan individu mempunyai tanggungjawab bersama dengan peranan
berbeza bagi mengatasi masalah ini. Dan semua mesti koheren dalam
menangani isu-isu tersebut, misalnya untuk mencapai hasil yang terbaik.
Sistem bekerja fleksibel
Contohnya, Kementerian Sumber Manusia, juga kementerian-kementerian yang bertanggungjawab hal ehwal perniagaan, perlu memperkenalkan dan memudah cara sistem bekerja yang fleksibel, mengoptimumkan potensi ICT dan platfom digital. Ini supaya sebanyak mungkin tenaga kerja boleh bekerja dari rumah.
Kedua, kementerian-kementerian yang mengendalikan anak muda dan wanita, mesti melakukan komunikasi berkesan dengan NGO, organisasi sukarela serta kumpulan masyarakat sivil.
Ini dapat membantu menyampaikan cara yang dipersetujui untuk menangani virus itu kepada ahli-ahli pertubuhan berkenaan.
Ketiga, pasukan petugas khas krisis negara perlu ditubuhkan, melibatkan kakitangan sektor utama kesihatan dan perubatan serta wakil sektor swasta bagi membimbing negara menghadapi cabaran-cabaran wabak ini.
Dalam hal ini, masa amat penting. Kerajaan baru perlu bertindak sepantas yang mungkin.
Mesti kira kos ekonomi
Kos ekonomi ini mesti dikira sekarang dan penting bagi mengukur penilaian untuk menghidupkan semula, menggiatkan kembali dan membantu mereka pulih.
Setiap langkah polisi yang diambil mestilah tidak memihak kepada kecondongan politik tertentu. Dasar yang digariskan perlu dibuat demi Malaysia dan untuk semua rakyatnya.
Kita perlu sentiasa diingatkan koronavirus Covid-19 tidak memilih-milih pesakit untuk dijangkiti berdasarkan kepercayaan agama atau kaum seseorang.
Allah SWT tidak akan menolong kita, kecuali kita menolong diri kita sendiri terlebih dahulu.
Keputusan yang tegas dan berkesan perlu dibuat berdasarkan matlamat demi kebaikan orang ramai, bukan untuk kesuaian atau tekanan kumpulan dengan kepentingan tetentu. Misalnya dengan membenarkan perhimpunan besar keagamaan yang sekarang telah mengakibatkan pertambahan jumlah kes jangkitan.
Orang ramai perlu dimaklumkan sepenuhnya atas semua perkembangan bagi mengelakkan maklumat palsu mengambil tempat.
Sekarang masa seluruh kerajaan bertindak!
RAFIDAH AZIZ ialah bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 1987 ke 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan