HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 April 2020

39 ditahan leka judi, berbual depan rumah, makan di restoran

Seramai 27 individu, termasuk 4 lelaki yang berkumpul dan 
makan di sebuah restoran di Butterworth ditahan dalam Ops 
Covid-19 semalam.
 
BUTTERWORTH: Enam individu termasuk 2 warga emas ditahan dalam Ops Dadu ketika leka berjudi di sebuah premis perniagaan di Jalan Raja Uda di sini ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata semua 5 lelaki dan seorang wanita itu yang berusia 51 hingga 78 tahun ditahan kira-kira 5 petang semalam.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas 52 keping cip pelbagai warna, 32 unit peralatan perjudian jenis ceki, meja, kerusi plastik, kertas terdapat catatan angka disyaki perjudian serta sejumlah wang hasil kegiatan tersebut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar PKP, Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Katanya, seramai 27 individu, termasuk 4 lelaki yang berkumpul dan makan di sebuah restoran di sini ditahan dalam Ops Covid-19 semalam.

Beliau berkata, semua lelaki berusia 30 hingga 42 tahun itu diberi amaran terlebih dahulu untuk bersurai, namun didapati masih tidak berbuat demikian ketika rondaan ke-2 polis di tempat sama.

“Selain mereka, polis menahan 5 lelaki dan seorang wanita yang berbual di depan sebuah rumah di Permatang Bendahari di sini dan amaran telah diberikan, namun mereka masih degil serta terus berbual di situ dengan alasan dalam perkarangan rumah.”

Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua individu yang berusia 20 hingga 35 tahun itu dari alamat berlainan dan masing-masing mempunyai pelbagai rekod jenayah serta dadah.

Tiada ulasan: