HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 April 2020

Kerajaan digesa jangan salah guna maklumat peribadi dalam aplikasi Covid-19

Peguam Foong Cheng Leong berkata, kerajaan perlu mengkaji 
semula undang-undang sedia ada berhubung pengumpulan data 
dan menetapkan langkah untuk melindungi maklumat peribadi 
yang diberikan pengguna.
 
PETALING JAYA: Seorang peguam yang khusus dalam undang-undang privasi menggesa kerajaan mengawal selia pengumpulan data daripada pengguna aplikasi rasmi bagi telefon bimbit yang menyasarkan usaha membendung penularan Covid-19.

Peguam Foong Cheng Leong berkata, Putrajaya perlu mengkaji semula undang-undang sedia ada berhubung pengumpulan data dan menetapkan langkah untuk melindungi maklumat peribadi yang diberikan pengguna.

Katanya, kerajaan perlu memastikan maklumat itu hanya digunakan untuk menangani penyakit berjangkit “dan bukan bagi tujuan lain seperti kempen politik atau siasatan polis untuk jenayah lain”.

Beliau berkata, hukuman harus dikenakan kepada pihak menyalahgunakan data itu dan perlu ada peruntukan untuk mereka yang terjejas akibat penyalahgunaan data itu.
Semalam, kerajaan melancarkan aplikasi percuma MySejahtera untuk pengguna melakukan penilaian kesihatan kendiri dan membolehkan Kementerian Kesihatan memantau kesihatan pengguna.

Dua aplikasi lain, untuk mengesan kontak orang dijangkiti Covid-19, turut dibangunkan secara berasingan.

Foong berkata, kesihatan dan keselamatan awam perlu menjadi keutamaan ketika berlaku pandemik, tetapi ada keperluan untuk mengkaji semula undang-undang bagi mengawal selia pengumpulan data.

“Sebarang undang-undang yang diluluskan perlu mengambil kira hak subjek data.”

Penggunaan aplikasi mengesan kontak di Korea Selatan dipuji kerana dapat membantu membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, versi Korea Selatan memberi pihak berkuasa “kuasa pemantauan sangat luas” menggunakan data telefon bimbit untuk mengesan kes koronavirus.



Pengarah Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, penggunaan aplikasi itu berkesan, tetapi ia akan mengekang hak privasi kerana pihak berkuasa diberikan akses ke atas maklumat perubatan sulit mengenai individu yang terdedah kepada virus itu, bukannya hanya pesakit.

Beliau berkata, peringatan kerap akan menyebabkan orang ramai keletihan dan akhirnya mesej itu diabaikan.

“Ini nampaknya sudah mula berlaku.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran berkata penerimaan orang ramai terhadap aplikasi itu diperlukan. Keputusan KKM, yang didorong data, boleh dipertingkatkan melalui penggunaan aplikasi itu.

Tetapi, katanya, data peribadi perlu dilindungi dan ketepatan data mesti disahkan.

Maklumat lanjut mengenai MySejahtera boleh didapati di http://mysejahtera.malaysia.gov.my dan aplikasi itu boleh dimuat turun di pusat aplikasi dalam platform telefon bimbit utama.

Tiada ulasan: