SERAMAI 952 pasangan di Kedah dibenarkan bernikah di Pejabat Agama Daerah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kehadiran yang minimum.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, hanya upacara akad nikah dibenarkan berlangsung dan sebarang majlis lain tidak boleh diadakan, manakala tarikh serta masa pernikahan pula akan ditentukan oleh pihak jabatan.
“Apa yang sedang diusahakan adalah untuk memperuntukkan beberapa hari dalam seminggu untuk Pejabat Agama Daerah menguruskan pernikahan secara konvensional, namun kehadiran dihadkan kepada kedua-dua pasangan dan ditemani seorang wali.
“Tiga saksi akan disediakan oleh pejabat agama dan pasangan perlu mendaftar dahulu bagi memudahkan urusan mengatur masa dan tarikh akad nikah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Negeri Khas Covid-19 di Wisma Darul Aman di Alor Setar, malam ini.
Beliau berkata, bagi mereka yang akan berkahwin dengan individu dari luar negeri ini, satu inisiatif terbaik sedang diusahakan untuk mempermudahkan urusan pernikahan pasangan berkenaan.
“Kami sedang usahakan supaya kaedah sidang video dapat dilaksanakan dan lihat bagaimana negeri-negeri lain menggunakan kaedah itu dan kami akan cuba selaraskan di Kedah supaya semua masalah selesai,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, rakyat di negeri ini juga dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah terhadap PKP dan terus memberikan tahap kepatuhan yang optimum walaupun beberapa daerah di negeri ini boleh dianggap sudah berada dalam keadaan ‘hijau’.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga memohon kepada semua pihak yang berhasrat untuk datang ke Kedah bagi menyampaikan sumbangan supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP.
“Antara peraturannya adalah hanya dua wakil daripada badan bukan kerajaan boleh hadir semasa menyalurkan bantuan dan mereka mestilah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Sebaik-baiknya ada senarai penerima dan pemberian sumbangan akan diuruskan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan