HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 April 2020

Normal baharu: Norhayati berkebun tampung perbelanjaan keluarga

Adie Sufian Zulkefli, Astro Awani
Normal baharu: Norhayati berkebun tampung perbelanjaan keluarga
Norhayati menanam lebih 15 jenis sayur-sayuran termasuk cili, tomato, daun sup, bayam Brazil dan pegaga. Foto Astro AWANI.
 

KUALA NERANG: "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan."

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan seorang suri rumah dengan bercucuk tanam bersama ahli keluarganya di tepi kediaman mereka di Taman Keranji di sini, dalam usaha menjimatkan perbelanjaan harian.

Sehingga kini, Norhayati Derani, 45, dan anaknya Mohd Azri Haziq Azizan, 10, menanam lebih 15 jenis sayur-sayuran, antaranya cili, tomato, daun sup, bayam Brazil, pegaga, sawi, daun kunyit, kobis, kacang bendi dan sayur mayong.

Selain itu, mereka turut menanam pokok buah-buahan seperti nanas dan pisang.

"Dalam masa PKP ini, bosan kalau kita hanya duduk sahaja di ruma tanpa buat apa-apa. Jadi, saya tanam sayur di tepi rumah untuk jimat belanja.

"Disebabkan tiada kerja... kalau bercucuk tanam, dapatlah hasil. Boleh juga beri sedikit kepada jiran," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.

Norhayati berkata, hasil tanamannya itu telah membuahkan hasil dengan banyak di luar jangkaannya.

Selain itu, katanya, dia juga dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga kerana tidak perlu membeli sayur di pasar.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP, dia banyak menghabiskan masa terluang dengan berkebun bersama suami dan tiga anaknya.

Sementara itu, Mohd Azri yang selalu membantunya berkata, dia gembira dapat membantu ibu berkebun.

"Saya buat aktiviti seperti potong rumput, tolong emak. Walaupun tak boleh keluar rumah, tetapi sekurang-kurangnya dapat keluarkan peluh," katanya.

Tiada ulasan: