HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 April 2020

Damai dengar alunan ayat al-Quran setiap hari

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque
 
HAZWAN memantau aktiviti di SK Maca melalui kamera litar tertutup (CCTV). FOTO Asyraf Hamzah
 
 
ALUNAN bacaan ayat suci al-Quran memecah keheningan sunyi di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala Lumpur, yang kini dijadikan Stesen Kuarantin (SK) Covid-19 bagi pelajar tahfiz Sri Petaling.

Senario itu menjadi halwa mendamaikan buat petugas barisan hadapan di SK berkenaan sejak lebih dua minggu lalu.

Itu antara aktiviti rutin pelajar terbabit yang kini masih perlu tinggal di akademi berkenaan sehingga menerima keputusan saringan dan kebenaran keluar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berkongsi kisah itu, Penyelaras SK Maca yang juga pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Leftenan (PA) Hazwan Abdul Ghani berkata, penghuni akademi itu akan membaca al-Quran setiap hari kerana itu adalah rutin mereka ketika berada di tahfiz sebelum diarahkan untuk dikuarantin.

Menurutnya, pelajar dikuarantin itu akan menjadikan rakan di bilik bertentangan untuk meneliti dan menyemak bacaan dari hukum tajwid.

“Penghuni dikuarantin di sini, tinggal berseorangan di setiap bilik dan mereka akan membuka pintu setiap kali mahu membaca al-Quran supaya rakan yang berada di bilik bertentangan dapat memeriksa bacaan sekiranya terdapat kesalahan.

“Mereka akan memakai penutup mulut dan hidung setiap kali memulakan aktiviti bacaan hafazan ini sebagai langkah pencegahan ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.

Kini, Maca menempatkan 116 pelajar tahfiz dari Sri Petaling untuk dikuarantin dan dipantau pegawai dan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, penghuni tidak dibenarkan menjalani aktiviti luar ekoran peraturan ketat KKM bagi mengelak penularan wabak maut itu dan masa akan dihabiskan di dalam bilik.

Katanya, penghuni turut dibekalkan buku dan alat tulis untuk mereka menjalankan aktiviti sampingan bagi mengisi masa lapang.

“Saya kagum kerana mereka tidak meminta sesuatu yang berlebihan dan hanya berkisarkan keperluan harian saja seperti alat tulis dan peralatan kebersihan diri.

“Setakat ini semua berjalan lancar dan kakitangan penyelarasan di SK ini juga akan menganjurkan beberapa program lain dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dilakukan adalah memanggil penceramah bebas untuk memberikan suntikan motivasi kepada penghuni supaya terus cekal dan kuat sepanjang tempoh kuarantin ini dijalankan.

Katanya, selain itu, pihak penyelarasan juga bercadang untuk memanggil imam Masjid Wilayah Persekutuan untuk kelas tajwid kepada penghuni.

Tiada ulasan: