Dr Ahmad Sanusi Azmi
Tak perlu keluar jauh hingga langgar arahan PKP
MUSIM-musim PKP ini,
macam-macam kisah rumah tangga yang dilaporkan oleh akhbar. Kelmarin
Sinar melaporkan kisah suami yang ditahan polis kerana merajuk dengan
isteri. Teringat saya kisah Saidina Ali yang dikatakan “merajuk” dengan
Saidatina Fatimah dalam sebuah hadis.
2. al-Imam al-Bukhari merekodkan hadis
bagaimana pada suatu hari Rasulullah ﷺ datang ke rumah Fatimah, tetapi
Saidina Ali tidak ada di rumah. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya: “Di mana
sepupumu Ali?” Fatimah lalu menjelaskan:
كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَهُ شَيْءٌ، فَغَاضَبَنِي، فَخَرَجَ، فَلَمْ يَقِلْ عِنْدِي
“Tadi berlaku sesuatu (perselisihan)
antara aku dan dia (Saidina Ali), maka dia marah dan keluar dari rumah.
Dan dia tidak berqailulah (tidur rehat seketika) tengahari ini di sini.”
3. Rasulullah ﷺ lalu meminta Sahl ibn
Sa’d mencari di mana Ali. Rupanya Ali didapati berbaring di masjid
setelah berlaku perselisihan antara dia dengan isterinya. Keadaan Ali
diceritakan dalam hadis tersebut:
فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُضْطَجِعٌ، قَدْ سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ
شِقِّهِ، وَأَصَابَهُ تُرَابٌ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُهُ عَنْهُ، وَيَقُولُ: «قُمْ أَبَا تُرَابٍ،
قُمْ أَبَا تُرَابٍ»
“Lalu Rasulullah ﷺ pun datang dan Ali
dilihat sedang berbaring di atas tanah sehingga jatuh selendangnya dari
bahunya. Rasulullah ﷺ lalu menyapu (membersihkan tanah) darinya dan
berkata: Bangunlah wahai Abu Turab (bapa pasir), bangunlah wahai Abu
Turab! (Sahih al-Bukhari)
4. Menurut al-Imam Ibn Battal, hadis ini
memberikan kepada kita gambaran mengenai seorang suami yang mengambil
langkah untuk tidak memanjangkan perselisihan dengan isteri. Ali dilihat
meninggalkan rumah bagi mengelak dirinya dari perselisihan yang
panjang.
5. Perhatikan juga bagaimana Saidina Ali
merajuk ke masjid. Rumah Allah dijadikan tempat untuk menenangkan
fikiran. al-Quran turut mendidik muslim agar menjadikan solat perisai
buat dirinya dari melakukan perkara yang dicegah. Firman Allah:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
“Sesungguhnya solat (berupaya) mencegah daripada perbuatan keji dan munkar.”
6. Hadis ini turut menunjukkan bagaimana
“orang tengah” berperanan dalam memujuk sekiranya berlaku perselisihan
suami isteri. Rasulullah ﷺ memujuk Ali dengan memanggilnya panggilan
manja ‘Wahai Abu Turab” (Bapa Pasir) kerana melihatkan keadaan Ali yang
berdebu dek kerana berbaring di atas tanah. Menurut al-Imam al-Aini,
panggilan tersebut adalah gurauan bagi memujuk hati Ali.
7. Benar, suami dinasihatkan untuk tidak
memanjangkan perselisihan dengan isteri. Tapi musim-musim PKP ini, tidak
perlulah keluar jauh sehingga melanggar arahan PKP. Dibimbangi nanti,
perselisihan dengan isteri pun tidak selesai, ditambah lagi kena denda
RM1,000. Carilah ketenangan dan patuhilah arahan.
Semoga Allah membimbing kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan