Selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.4 kilogram
TAWAU
– Seorang wanita melalui pengalaman cemas apabila terpaksa melahirkan
bayinya dalam kereta kerana tidak sempat sampai ke hospital akibat
terperangkap dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan ke Hospital
Tawau, Sabtu lepas.
Dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Noziee
Abdul Asa, 37, yang dalam perjalanan ke hospital bersama bapanya Abdul
Asa Mohd Salleh, 65, dan anak sulungnya Aisha Maizela, 17, terperangkap
lebih dua jam susulan dua sekatan jalan raya yang diadakan berikutan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah itu.
Mencerita kejadian itu, Abdul Asa yang
merupakan seorang pesara kerajaan berkata beliau menerima panggilan
anaknya yang mengalami sakit hendak bersalin kira-kira 9.30 pagi sebelum
mengambil Noziee dan Aisha di rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin
(PPRT) Baru 8 dan terus ke Hospital Tawau.
“Dalam perjalanan terfikir mengenai
kesesakan lalu lintas di Jalan Apas sebelum mencari jalan alternatif
menggunakan laluan di Jalan Tiku sebelum sekali lagi terperangkap di
sekatan Jalan Kuhara,” katanya.
Mujur, sebuah ambulans (ada pesakit)
melalui kawasan sama dan Aisha memaklumkan keadaan ibunya kepada
kakitangan perubatan, yang kemudian mengarahkan saya memandu dan ikut di
belakang ambulans, katanya.
Menurut Abdul Asa, Noziee selamat
melahirkan bayi lelaki seberat 3.4 kilogram dalam kereta berhampiran
pintu pagar Hospital Tawau.
Sementara itu, Noziee menerusi hantaran
yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya memaklumkan ketika ini anak
keempatnya itu dimasukkan ke wad lain kerana mengalami sedikit masalah
pernafasan, namun mereka berdua dalam keadaan stabil. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan