HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 April 2020

Tiada jaminan PKP ditamatkan 28 April ini

Muhammad Azizul Osman
MGF210420_PC-KKM_11
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pasti samada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan selepas 28 April ini.

Justeru itu rakyat di negara ini dinasihatkan agar terus duduk diam di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial yang disyorkan oleh KKM.

“Kita tidak pasti lagi PKP tamat ataupun dilanjutkan. Jadi yang pasti kita cuba elakkan perhimpunan.

“Contohnya, kita ada pelajar universiti mereka ingin kembali ke kampung mereka tetapi kita kena pastikan tiada perhimpunan ataupun kesesakan berlaku di stesen dan sebagainya. Itu yang paling penting elakkan kesesakan dan pastinya penjarakan sosial,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

PKP fasa ketiga akan berakhir pada 28 April dengan berbaki tujuh hari lagi.

Fasa pertama PKP adalah pada 18 Mac dan berakhir pada 31 Mac dan fasa kedua adalah pada 1 April hingga 14 April dan fasa ketiga adalah pada 15 April hingga 28 April depan.

Tambah Noor Hisham, KKM masih memantau data-data yang diperoleh pihaknya bagi mengetahui samada PKP akan disambung atau tidak.

“Kita masih belum lagi membuat sebarang keputusan tetapi apa yang pasti kita ada enam kriteria sebelum kita laksanakan penamatan PKP.

“Kriteria pertama adalah kita lihat kepada kawalan sempadan jadi kalau kita berhentikan kawalan sempadan besar kemungkinan mereka yang datang ke Malaysia akan membawa penyakit tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, KKM menyasarkan satu digit jangkitan kes baharu positif Covid-19 pada minggu depan.

Beliau berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan perancangan rapi yang akan dilaksanakan KKM dengan bantuan kementerian-kementerian lain.

“Kalau rakyat boleh terus duduk rumah dan KKM bekerjasama dengan kementerian lain dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan dikenalpasti, kita boleh kurangkan (jangkitan baharu) bawah 10 kes,” katanya.

Jelasnya lagi, PKP terbukti dapat mengurangkan jumlah jangkitan dalam masyarakat.

Justeru itu katanya, sekiranya rakyat negara ini mengamalkan saranan kerajaan agar duduk diam di rumah maka kebarangkalian jangkitan juga akan tipis.

“Jadi, kita lihat dengan pelaksanaan PKP 1,2 dan 3, kita berjaya mengurangkan jangkitan setempat dan hasilnya kes positif baharu di bawah 100 kes. Tidak mustahil untuk kita kurangkan kes tetapi kita perlu tingkatkan tindakan bersama.

“Ia bergantung kepada rakyat Malaysia dan tindakan barisan hadapan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: