HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 April 2020

Kes import punca peningkatan kes baharu Covid-19 di Selangor

Norzamira Che Noh
 
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
 

SELANGOR kembali mengalami peningkatan dalam kes positif koronavirus baharu (Covid-19) dengan merekodkan 11 kes pada hari ini.

Berdasarkan data yang dikongsi oleh Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di laman web amirudinshari.com, jumlah kes terkumpul setakat hari ini adalah sebanyak 1,356 kes.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan 11 kes berkenaan adalah kes pindah (luar negara).

“Alhamdulillah, dari segi statistik tiada kes (membabitkan komuniti) direkodkan di Selangor untuk hari ini.

“Sebelas kes (positif) adalah kes pindah iaitu tiga orang dari Istanbul, Turki serta lapan orang dari Surabaya, Indonesia yang dikuarantin di Selangor,” katanya.

Selangor sebelum ini mengalami penurunan jangkitan positif yang sangat baik bermula pada 17 April lalu dengan 17 kes dan terus menurun sehingga dua kes semalam.

Sementara itu, menerusi info grafik yang dikongsikan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, tiga mukim di negeri ini masih direkodkan sebagai kawasan merah iaitu kes aktif melebihi 41 kes.

Mukim berkenaan adalah Klang dengan 51 kes aktif, Petaling (106), Hulu Langat (96) manakala Gombak adalah kawasan jingga dengan 27 kes aktif.

Mukim lain iaitu Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat serta Sepang adalah kawasan kuning iaitu mempunyai satu hingga 20 kes aktif.

Tiada ulasan: