Ridauddin Daud
Anwar
sebelum ini mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah
kepada Al-Sultan Abdullah bagi meminta perkenan baginda menggugurkan
pengisytiharan darurat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa seramai 114 atau
115 ahli Parlimen menyatakan bantahan mereka terhadap darurat yang
diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan
jumlah tersebut yang disifatkan sudah lebih daripada cukup, Anwar
meminta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan perkara tersebut dan memanggil
sidang Parlimen dengan segera.
“Kalau
kita tengok yang mutakhir, seperti juga kenyataan Majlis Profesor
Negara (MPN), kita memohon ihsan, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong
untuk menimbang semula, melihat semula, pertama,
darurat dan kedua,
memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera.
“Itu
kita sudah mencecah dalam 114 atau 115 ahli Parlimen yang menolak usul
kerajaan PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini tidak boleh disangkal.
“Adakah
jumlah itu cukup? Itu lebih daripada mencukupi,” katanya dalam siaran
langsung Program Minda Profesor Negara - Bicara Negarawan Siri-3 yang
disiarkan melalui laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara pada
Sabtu.
Anwar
sebelum ini mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah
kepada Al-Sultan Abdullah bagi meminta perkenan baginda menggugurkan
pengisytiharan darurat.
Jelasnya,
warkah itu bukan untuk membantah sebaliknya merayu ihsan serta
kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula alasan
dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.
"Ya
benar, sekarang ini ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang
di-Pertuan Agong itu sudah mencecah lebih dari majoriti... bukan
membantah, (tetapi) merayu ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong
untuk menimbang, melihat semula dan mengkaji alasan dibawa oleh Perdana
Menteri (yang) tidak munasabah dan tidak cukup kuat.
"Jadi
mohon Yang di-Pertuan Agong menimbang dan kita terima keputusan
kebijaksanaan Tuanku. Surat kepada Yang di-Pertuan Agong telah dihantar
semalam (Selasa)" katanya dalam sidang media menerusi Facebook rasminya
pada Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan