KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan pihak tertentu termasuk dalam UMNO, yang didakwanya sengaja memutarbelitkan rakaman temubual Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya meminta pihak berkenaan menonton dan mendengar betul-betul rakaman video yang dicakapkan Setiausaha Agung UMNO itu.
“Mereka mendakwa, antara sebab kenapa UMNO tidak berpuas hati dengan kerajaan PN ialah kes-kes pemimpin UMNO tidak ditarik balik.
“Sedangkan, Ahmad Maslan kata, ketidakadilan perundangan dan salahguna kuasa kerajaan semasa gagalkrasi Pakatan Harapan (PH) bawah (Tun Dr.) Mahathir (Mohamad) tidak diperbetulkan oleh kerajaan PN.
“Dia sama sekali tidak merujuk kes saya atau mana-mana kes pemimpin UMNO tapi merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Ahmad Maslan membicarakan mengenai perkara itu ketika ditemubual dalam rancangan Chanel Nadi Rakyat (ChanelNR), kelmarin.
Menurut Najib, semua itu melibatkan wang yang dibayar olehnya sebelum PRU-14.
Beliau minta pihak berkenaan bertanyakan kenapa 80 pihak dikenakan notis sitaan dan 41 lagi didakwa serta dikompaun sehingga berpuluh kali ganda jumlah wang yang dibayarnya sedangkan ia melibatkan isu sama iaitu menerima bayaran daripadanya.
“Adakah ianya adil untuk sebahagian dikenakan sitaan sahaja dan ada pula yang didakwa AMLA dengan kompaun yang besar?
“Setelah kerajaan berkali-kali kalah dalam kes sitaan AMLA melibatkan 121 penerima tersebut, ianya memang menjadi kenyataan bahawa hanya menerima bayaran dari saya bertahun-tahun lalu bukanlah jenayah sebab penerima tidak akan tahu mana datangnya sumber dana tersebut.
“Sengaja mereka disusahkan sebab kerajaan PH nak teruskan propaganda untuk mengenakan saya,” katanya.
Malah, kata Najib, bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga menerima bayaran daripadanya.
“Mas Ermieyati dan Tok Pa menerima dana politik dari saya tapi mereka tidak diambil tindakan setelah lompat keluar UMNO dan dilantik menjadi menteri penuh pula.
“Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Abd. Samad juga menerima dana politik dari saya dan mereka pula diambil tindakan mahkamah sebab kekal dengan UMNO dan menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah.
“Adakah ini adil? Patutkah Ahmad Maslan membisu sahaja dan tidak mengadu? Sedangnya, ianya memang adalah kenyataan bahawa kerajaan PH telah salahgunakan kuasa kerajaan untuk kenakan pemimpin-pemimpin UMNO,” ujarnya.
Beliau berkata, peguam Lim Guan Eng iaitu Tan Sri Tommy Thomas dilantik dari pihak swasta untuk menjadi Peguam Negara manakala pemimpih PH dilantik menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan penyokong tegar parti Warisan dilantik Ketua Hakim Negara serta berkempen kuat dengan Guan Eng atas pentas ceramah untuk PH.
“Nak nafikan tiada salah guna dan manipulasi sistem perundangan Malaysia lagi? Cuba tengok apa akan terjadi jika ketiga-tiga lantikan ini berlaku di negara lain dalam dunia?” soal beliau.
Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO berkata, akibat daripada penyalahgunaan itu, rata-rata kes melibatkan pemimpin PH digugurkan atau ditarik balik seperti kes banglo Guan Eng, laporan polis RCI BNM Forex, kes LTTE melibatkan wakil rakyat DAP dan banyak lagi.
Kes lain, kata beliau, tidak pula didakwa seperti komik propaganda komunis DAP, kes hotel Sandakan, kes Zahid Mat Arip kirim salam dan terima duit dalam kes FELDA Investment, kes rasuah air Sabah melibatkan Datuk Seri Shafie Apdal dan lain-lain.
Menurutnya, dalam kes melibatkan pemimpin UMNO, ada pegawai mengaku dalam mahkamah mereka menerima rasuah dan mengaku wujud pemalsuan surat arahan bank tetapi semuanya tidak didakwa atau dakwaan ditarik balik dan dijadikan saksi untuk mengenakan mereka pula.
“Namun tiada satu kes tersebut didakwa atau didakwa semula. Kenapa ketidakadilan ini tidak diperbetulkan selepas kerajaan PN ambil alih”,” soal beliau. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan