KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini diselar kerana
menggunakan kereta baharu yang hampir mencecah harga setengah juta iaitu
dua kali ganda dari harga kereta rasmi yang digunakan sebelum ini.
Alasan kereta rasmi berusia tujuh tahun tidak masuk akal sekali
untuk melaksanakan pembelian sedemikian sehingga mencecah hampir
setengah juta.
Harga kereta baharu tersebut hampir dua kali ganda dari harga
kereta rasmi sebelum ini yang digunakan oleh Ketua Menteri iaitu
Mercedes S300L yang dibeli dengan harga RM298,263 pada tahun 2013.
Jurucakap Gerakan DUN Machang Bubuk, Puvaniten Helan Govan berkata,
Kerajaan Pulau Pinang harus fokus terhadap pembangunan kebajikan rakyat
Pulau Pinang dan bukannya bermewah dengan kereta baru.
”Ada rakyat Pulau Pinang yang hidup sengsara tinggal di dalam
kereta sehingga lapan bulan meneruskan kehidupan dan mandi di tandas
awam.
”Ini adalah salah satu contoh bagaimana situasi kebajikan rakyat
Pulau Pinang begitu terabai dan tidak terjaga langsung sehingga ada yang
terpinggir dan terlepas pandang. Ianya hanya mendapat perhatian setelah
viral di dalam media sosial,” katanya di sini.
Puvaniten menambah, sekiranya Kerajaan Persekutuan menukar kereta rasmi, ianya cepat dipersoalkan oleh DAP.
“Tetapi apa guna pemimpin kerajaan negeri ini menggunakan kereta mewah tetapi nasib rakyat begitu teruk sekali.
”Jangan sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi kaji dengan
teliti aspek kebajikan rakyat Pulau Pinang. Jangan ada golongan yang
terpinggir atau terlepas pandang,” bidasnya.
Puvaniten berkata, pemimpin politik hari ini sememangnya harus
meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai
agenda utama di dalam kita memerangi pandemik Covid-19 masih berleluasa
ketika ini. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan