HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2021

KIMMA pentingkan politik, tidak lagi mewakili masyarakat India Muslim

352f7aac-811e-4191-afed-68e7113c3657
Mohd Zulkifli Abdul Fatah

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (DPM) kesal dengan perubahan ketara perjuangan parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) yang dilihat lebih menjilat pemimpin Barisan Nasional (BN) daripada membela masyarakat India Muslim.

Setiausaha Agungnya, Mohd Zulkifli Abdul Fatah berkata, lebih kecewa apabila Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader membuat kenyataan terbuka untuk bersama UMNO dan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kenyataan itu, tegasnya, jauh terpesong daripada landasan perjuangan asal KIMMA yang ditubuhkan untuk membela dan menjaga kebajikan masyarakat India Muslim, yang masih jauh ketinggalan dari segi kehidupan dan ekonomi.

“Apa yang kami dapati, KIMMA hanya bersuara dalam isu berkaitan dengan kepentingan parti itu sahaja, bukan hal ehwal masyarakat India Muslim.

“Sejak tahun 2018 lagi, berita tersiar dalam media hanya mengenai permohonan KIMMA untuk menjadi sebahagian parti komponen BN dan akan menurut segala keputusan UMNO.

“Kita kagum dengan kesetiaan KIMMA kepada UMNO, namun perlu diingat, KIMMA belum diterima sebagai parti komponen BN walaupun sudah bertahun mencuba,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Isnin lalu, Syed Ibrahim Kader dilaporkan berkata, parti itu sedia menuruti apa sahaja keputusan UMNO susulan keputusan 189 daripada 191 Bahagian menolak Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, sebagai parti gabungan UMNO, KIMMA tidak mempersoalkan apa juga usul yang dibawa 189 Bahagian itu, lebih lagi daripada akar umbi.

Mengulas lanjut, Mohd Zulkifli berkata, sebagai rakan strategik BN, KIMMA berada dalam blok kerajaan memerintah sejak pertukaran kerajaan pada awal tahun 2020.

“Terdapat juga ahli KIMMA yang dilantik dalam GLC, tetapi adakah kita dengar atau terbaca sesuatu daripadanya mengenai polisi atau dasar pembangunan masyarakat India Muslim?

“Adakah KIMMA mencuba untuk menukar imej mereka dan menarik minat anak muda India Muslim untuk menyertai mereka?,” katanya.

Beliau menyatakan, hakikatnya, terdapat NGO belia lebih aktif dalam memperjuangkan isu pembangunan ekonomi, kemasyarakatan dan pendidikan masyarakat India Muslim berbanding KIMMA.

Kata Mohd Zulkifli, DPM sendiri bekerjasama dengan banyak NGO belia India Muslim dan apa yang didapatinya, anak muda masyarakat itu kian aktif dan sangat berminat dalam arena politik.

“Namun, apabila ditanya, tiada antara mereka berminat menyertai KIMMA. Ada yang mahukan parti baharu untuk mewakili mereka dan ada yang mengharapkan pertukaran kepimpinan dalam KIMMA.

“Anak muda India Muslim yang lebih arif dalam politik sedar jika mereka menyertai KIMMA, mereka hanya akan jadi ahli gabungan BN sahaja.

“Tetapi, jika menyertai Bersatu, mereka diberi keahlian biasa dengan hak yang sama dengan bangsa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan KIMMA perlu sedar mereka bukan lagi satu-satunya parti yang mewakili masyarakat India Muslim.

Bahkan, ramai anak muda India Muslim kini menyertai Bersatu dan gembira dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“KIMMA perlu merujuk kembali visi dan misi parti itu serta ubah mentaliti mereka untuk kekal relevan pada masa sekarang.

“DPM berharap Perhimpunan Agung KIMMA ke-43 yang akan berlangsung nanti membincangkan dasar dan polisi untuk masyarakat India Muslim, bukan dijadikan ruang menyerang Bersatu serta bermain politik kepentingan sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: