HALAMAN SANTAI

Jumaat, 8 Januari 2021

Penolakan pendaftaran Pejuang ada kaitan pengaruh politik - Tun M

Ridauddin Daud
Penolakan pendaftaran Pejuang ada kaitan pengaruh politik - Tun M
Menurut Dr Mahathir, semasa ingin mendaftar Pejuang sebelum ini, pihaknya 
mengikut segala arahan dan peraturan ditetapkan, namun permohonan 
pendaftaran parti itu masih ditolak.
 
PUTRAJAYA: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa keputusan menolak pendaftaran Pejuang ada kaitan dengan pengaruh politik.
 
Menurut beliau, pihaknya kerap berjumpa dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan mereka secara lisan menyatakan semuanya baik, namun, akan merujuk permohonan itu kepada menteri terlebih dahulu.
 
Bekas Perdana Menteri itu berkata, mengikut undang-undang, RoS berhak untuk membuat keputusan untuk menerima atau menolak sebarang permohonan pendaftaran sesebuah pertubuhan, namun dalam kes Pejuang perlu dibawa kepada menteri pula.
 
“Ini makna proses administration (pentadbiran) sudah jadi perkara politik, melebihi peruntukan dan peraturan undang-undang. Kenapa rujuk menteri? Ini tidak diwajibkan mengikut undang-undang.
 
“Setelah kita ke mahkamah dan mereka (RoS) buat keputusan, tentulah keputusan daripada menteri, dengan alasan kononnya kita tak memenuhi pelbagai syarat dan permohonan kita ditolak,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Khamis.
 
Tambah Dr Mahathir, semasa ingin mendaftar Pejuang sebelum ini, pihaknya mengikut segala arahan dan peraturan ditetapkan.
 
Bagainanapun, permohonan pendaftaran Pejuang, tegas Dr Mahathir, masih ditolak.
 
“Mengikut aturan, sekarang ini kita boleh buat rayuan kepada menteri. Itu kita akan buat. We believe in the rule of law (kami percaya pada kedaulatan undang-undang).
 
“(Bila hantar rayuan?) Secepat mungkin... esok,” ujarnya.
 
Astro AWANI pada Khamis melaporkan RoS menolak pendaftaran Pejuang menerusi satu surat yang dikeluarkan pada Rabu.
 
Perkara tersebut disahkan peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali.
 
Selain Pejuang, permohonan pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) turut ditolak RoS.

Tiada ulasan: