HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Januari 2021

Punca sebenar perpecahan dalam UMNO, ini dikatakan kisah di sebaliknya...

Firdaus Azil
Punca sebenar perpecahan dalam UMNO, ini dikatakan kisah di sebaliknya...
Terdapat usaha jelas kelompok dalam UMNO untuk memutuskan kerjasama 
politik dengan Bersatu dan jalin kerjasama dengan Anwar dan DAP.
 
KUALA LUMPUR: Perbezaan pendapat dalam usaha persiapan UMNO menghadapi pilihan raya umum, terutama mengenai strategi yang dianggap terbaik, dilihat antara faktor utama menyebabkan perpecahan dalam parti Melayu terbesar itu.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, titik-titik perbezaan pendapat semakin ketara sewaktu berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lepas.
 
Antara yang menjadi perdebatan ketika itu, jelasnya ialah cubaan kelompok tertentu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
 
"Ada kelompok berpandangan kita hanya boleh menang kalau kita menyatukan tiga-tiga parti - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan juga Pas. Yang lain-lain boleh ikut sekali… PBS dan sebagainya.
 
“Tapi ada satu lagi kelompok yang berpandangan tak perlu kerjasama dengan Bersatu. Sebab mungkin UMNO boleh pergi solo sebab kita menang kerusi yang banyak (sebelum ini). Ini yang bermulanya polemik.
 
“Dan itu yang saya rasa berkecamuk sedikit dan ia jadi kemuncak sebelum PRN Sabah, apabila ada usaha untuk mendapatkan jajaran politik baharu dengan Anwar Ibrahim... dengan DAP,” katanya lagi.
 
Tun Faisal berkata demikian ketika bersiaran bersama-sama Exco Pemuda Umno Aizat Azam, dalam program Agenda AWANI kelolaan Nazri Kahar, pada Jumaat.
 
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, cadangan kerjasama dengan Anwar dan DAP itu telah pun ditolak berkali-kali, baik dalam perjumpaan bersama Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), mahupun Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
 
Malah, beliau berkata, majoriti UMNO di peringkat bahagian juga tidak dapat menerima cadangan berkenaan, kerana mereka berpandangan kerjasama antara UMNO dan Bersatu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih perlu diteruskan.
 
"Dan juga keputusan dasar yang ditentukan MKT, iaitu no Anwar, no DAP, no Dr Mahathir. Kita menyokong Muafakat Nasional (MN), perkukuhkannya, perkukuhkan kerjasama dengan Bersatu, menyokong kerjasama dengan PN. Itu keputusan dasar.
 
“Tetapi bila ada usaha sokong Anwar Ibrahim, buat surat sokongan kepada Anwar Ibrahim, itu sudah menjadi pelanggaran kepada dasar parti. Itu bukan kehendak parti, tapi kehendak individu, dan ini kita kena bezakan ini,” tegasnya lagi.
 
Sementara Itu, Aizat, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok berpendapat, walaupun usaha memutuskan kerjasama dengan Bersatu ada asasnya, tetapi ia tidak boleh dibuat tanpa alasan yang kukuh.
 
Jelasnya lagi, persepsi terhadap UMNO ketika ini agak negatif, apatah lagi selepas ia dilihat cuba meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan dianggap gila kuasa.
 
Sebagai contoh, Aizat berkata, masyarakat dan akar umbi UMNO boleh menerima sekiranya pemberhentian kerjasama itu dilakukan atas sebab pengagihan kerusi antara UMNO, Bersatu dan PAS tidak mencapai kata sepakat.
 
"Ada usaha nak meruntuhkan kerajaan PN yang kita bersama-sama sebelum ini. Itu pandangan saya tak berapa betul. Biar pembangkang buat kerja nak runtuhkan kerajaan, jangan usaha dari dalam untuk runtuhkan kerajaan.
 
“Bagi saya ini yang menyebabkan rakyat marah UMNO balik sedangkan kita dah ada momentum sangat baik sebelum ini. Ini patut UMNO elakkan, kita nak bersihkan balik pandangan rakyat yang UMNO gila kuasa, bukan satu perkara mudah,” katanya lagi.
 
Aizat berkata, sejarah jelas menunjukkan UMNO dan BN tidak mendapat tempat di majoriti hati orang muda, dan golongan atas pagar pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan 14
 
Kemuncaknya, jelas beliau lagi, apabila buat pertama kalinya UMNO dan BN gagal mempertahankan Putrajaya.
 
"Kalau tak mahu kerjasama dengan PN, beri sebab yang boleh diterima akal fikiran. Sebagai contoh saya pun belum dengar proses perundingan pengagihan kerusi itu sudah berlaku. Mungkin belum berlaku.
 
“Tetapi kenapa kita nak putuskan, kita hentikan hubungan dengan Bersatu pada ketika ini. Kita rundinglah dulu kerusi. Kita kena sedar bila PRU15, UMNO tidak boleh menjadi parti besar dominan seperti dulu, yang mampu bertanding 120 kerusi,” katanya lagi.

Tiada ulasan: