KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu ‘move on’ dan tidak lagi berterusan membuka peluang kerjasama bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri itu hanya menggunakan PH sebagai strategi untuk memececah belahkan kesepaduan gabungan tersebut.
“AMK juga merasakan telah tiba masanya untuk Pakatan Harapan ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Tun Dr Mahathir.
“PH perlu sedar bahawa penglibatan YB Tun Dr Mahathir yang cuba menunggang jenama grand coalition hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering beliau gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.
“Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan PKR dan Pakatan Harapan,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu Akmal menyelar Dr Mahathir yang disifatkannya mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak lagi mahu bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Katanya, ia berbeza dengan Anwar yang baru-baru ini mengulangi keterbukaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan pihak tersebut boleh menerima syarat dan prinsip perjuangan PH serta meninggalkan segala sikap dan kebobrokan lama.
Akmal berkata, kenyataan itu tidak mengejutkan bahkan menyerlahkan hakikat keterdesakan politik bekas Pengerusi PH itu.
“Amat malang apabila majlis yang sepatutnya digunakan oleh YB Tun Dr. Mahathir untuk menerangkan tentang hala tuju partinya, dijadikan sebagai platform untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sikap YB Tun Dr. Mahathir ini menunjukkan seolah-olah kewujudan Parti Pejuang itu hanya semata-mata ingin menafikan kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan,” tambahnya.
Akmal turut menyarankan agar Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersartu Malaysia (Bersatu) bermuhasabah kerana didakwa sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang pilihan raya yang lalu.
Semalam Dr Mahathir berkata, Anwar yang menolaknya daripada Pakatan Harapan.
“Anwar tolak saya bulat-bulat. Tak boleh jadi apa pun, tak boleh masuk (kembali ke PH). Jadi yang tolak ni bukan saya tetapi dia,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri majlis Amanat Perjuangan 2021 anjuran Pejuang Selangor semalam.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan