HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 April 2021

Akar umbi tolak UMNO jika kerjasama dengan komponen PH

Oleh ASLIZA MUSA
SA Vigneswaran berbual dengan Siti Rohani Sayed Aziz pada penyerahan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah di Pusat Khidmat MIC Sungai Siput, Perak hari ini. - FOTO/ASLIZA MUSA

SUNGAI SIPUT: UMNO akan berdepan dengan penolakan akar umbi sekiranya memilih untuk menjalin kerjasama dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berpendapat, parti itu sama sekali tidak boleh memberi jaminan bahawa pemimpin dan ahli akan bersama mereka sekiranya kerjasama tersebut dijalankan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kerjasama tersebut bukan saja sukar dilaksanakan malah dilihat tidak akan menjadi kenyataan.

“Saya harap UMNO akan membuat keputusan yang sewajarnya sekarang. Walaupun ada pemimpin yang membuat ‘hubungan sulit’ dengan PH, akar umbi tidak akan ikut mereka. 

“Mereka tidak boleh pastikan akar umbi akan mengundi calon dari DAP dan DAP kepada UMNO, begitu juga dengan PKR.

“Saya percaya kalau ada buat hubungan sulit pun, ia tidak akan berlangsung. Sangat sukar untuk ahli DAP bekerja untuk UMNO dan UMNO bekerja untuk DAP,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) Parlimen Sungai Siput di Pusat Khidmat MIC Sungai Siput, di sini hari ini.

Menurut beliau, meskipun UMNO telah menjelaskan bahawa tiada kerjasama dengan DAP dan PKR, namun ada dalam kalangan pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

“Sebagai wakil dalam BN, saya pun tidak tahu sama ada betul atau tidak perkara ini berlaku. Pendirian kita di BN, kalau ada kerjasama dengan pembangkang, maka tidak munasabah dan jika benar, kita kena ambil keputusan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, MIC kekal dengan pendirian sebagai parti komponen dalam BN yang menyokong PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: