HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

Apa pun situasi, Bersatu akan bersama Pas – Muhyiddin

MGF31032021_BERSATU-JOHOR-MEETING11
Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional Johor di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan terus memandang ke hadapan dalam membuat persiapan menjelang PRU-15.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam masa sama parti peringkat Johor juga turut mengalu-alukan pengukuhan kerjasama dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ini menunjukkan semangat setiakawan untuk melihat ke hadapan supaya terbentuk jalinan kerjasama kukuh antara Bersatu dan Pas bersama-sama juga lain-lain parti dalam PN seperti Gerakan, SAPP, STAR dan sebagainya.

“Kita juga telah bertekad apa pun situasi kita akan bersama-sama dengan Pas kerana komitmen kedua-dua parti terhadap hala tuju masa hadapan itu amat jelas.

“Apa pun yang berlaku itu soal UMNO tapi dari sudut kerjasama antara Pas dengan Bersatu itu amat jelas termasuk tubuh jawatankuasa bersama, berbincang persiapan PRU-15 dan rundingan kerusi kerana ini yang hendak diutamakan,” katanya yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

Terdahulu Muhyiddin  mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor di sebuah hotel di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri PN Johor berkata, mesyuarat bersama PN Johor hari ini turut membincangkan mengenai rundingan bagi menyelesaikan struktur pembahagian kerusi di Parlimen  di negeri itu.

“Siapa yang akan mengetuai sama ada Bersatu, Pas atau Gerakan ini akan dirundingkan termasuk juga bayangan tentang rundingan kerusi antara parti-parti yang ada dalam PN Johor tapi keputusan nanti muktamadnya akan dibuat oleh pimpinan peringkat nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: