HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

Bersatu janji tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak - Masing

Astro Awani
Bersatu janji tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak - Masing
Tambah Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, sekiranya Bersatu tidak mengotakan 
janji, maka GPS akan terus mempertahankan hak mereka tanpa kompromi. FOTO: 
Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah memberi jaminan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
 
Perkara itu disahkan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang turut menyatakan bahawa persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan tahun lalu.
 
“Bersatu sudah memberi jaminan untuk tidak bertanding di negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri dan umum serta jaminan ini diberikan oleh Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu.
 
“Kita (GPS) berharap mereka berpegang teguh kepada janji dan mengharapkan perkara yang sama daripada pihak mereka,” kata Masing.
 
Tambah Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, sekiranya Bersatu tidak mengotakan janji, maka GPS akan terus mempertahankan hak mereka tanpa kompromi.
 
“Janji tetap janji, jangan sesekali mengingkarinya untuk kepentingan politik anda (Bersatu).
 
“Sekiranya mereka tetap ingkar, kita tiada pilihan selain mempertahankan kepentingan Sarawak kerana ia sesuatu yang tidak boleh dirunding,” tambah Masing.
 
Pada Julai tahun lalu, Masing pernah mengeluarkan kenyataan sama berkaitan janji yang diberikan Bersatu dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk tidak bertanding di Sarawak menerusi PRN dan PRU.
 
Persetujuan itu dicapai dalam sebuah mesyuarat melibatkan kesemua pemimpin tertinggi PN dan GPS pada 1 Julai 2020.

Tiada ulasan: