KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa sedih dengan sikap partinya yang didakwa mengisytiharkan perpecahan demi perpecahan.
“Biar apa pun reaksi yang cuba ditunjukkan,hati kecil saya tetap merasa pilu dan sedih menatapi kenyataan dua parti politik Melayu memperbaharui iltizam mengikat kerjasama kearah PRU-15 sementara parti saya sendiri mengisytiharkan perpecahan demi perpecahan.
“Mereka begitu konsisten berjuang dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan.Nada yang dulunya digarap bersama satu ketika dulu,” katanya dalam status di media sosialnya hari ini.
Dua parti yang memperbaharui iltizam itu merujuk kepada kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
“Apa pun saya tidak akan berputus asa. Dengan saki baki kudrat yg masih ada,saya istiqamah berjuang atas paksi membawa UMNO dalam jajaran asal berpaksikan penyatuan parti parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk menentang PH (Pakatan Harapan) dan yang bersama mereka,” katanya.
Menurut Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, hubungan baik dan gerak perjuangan akan diteruskan dengan semua 13 parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Tidak mungkin bergerak sendirian, apa lagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis, DAP dan liberalis, PKR. Insya Allah kita terus berjuang,” katanya.
Sebelum itu, dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu selain PKR dan DAP dalam PRU-15.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan antara pemimpin UMNO yang dikriti hebat oleh pimpinan dan perwakilan partinya kerana menganggapnya pro Bersatu di dalam parti.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan