‘Kita tak teragak-agak serah semula kepada akar umbi tentu pemimpin’
BANGI – Calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dijangka akan diputuskan sekitar Jun ini.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan kedua-dua calon itu akan dilakukan oleh ahli parti itu sendiri.
“Ramai yang tak putus-putus bertanya siapa calon PM dan TPM dari UMNO (pada) PRU akan datang.
“Saya lihat ini secara positif. Ertinya ramai yang masih melihat UMNO antara parti yang perlu menampilkan calon pemimpin utama negara.
“Suka saya nyatakan UMNO ada caranya sendiri.Usah terlalu khuatir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, UMNO adalah parti yang mempunyai tradisi dan Perlembagaan tersendiri.
Beliau berkata, Perlembagaan UMNO menetapkan bahawa tempoh memegang sesuatu jawatan dalam parti dihadkan kepada hanya tiga tahun sahaja.
Katanya, pemilihan parti yang lalu dilakukan pada 30 Jun 2018, manakala tempoh perkhidmatan jawatan akan tamat pada Jun 2021.
“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat kuat bergantung pada suara akar umbi, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.
“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sbg PM, TPM bila tiba masanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan