HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 April 2021

Jangan campur baur kesetiaan UMNO dengan agenda subversif – Zahid

 Wartawan MalaysiaGazette

MGF28032021_PAU-UMNO55
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Agenda kesetiaan dalam konteks UMNO  tidak boleh tergelincir dan wajib dipertahankan walau dalam bentuk acuan sekali pun supaya agenda perjuang agama, bangsa dan negara dapat diteruskan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehubungan itu berkata, ramuan kesetiaan itu tidak boleh dibenarkan bercampur baur dengan agenda luaran yang subversif yang cuba dibawa masuk.

Tegasnya, sebab itulah UMNO berpegang teguh kepada kesetiaan mutlak terhadap agenda perjuangan yang dipamerkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.

“Marilah kita belajar dari sebuah kesetiaan kerana kesetiaan itu mengajarkan pentingnya suatu kejujuran, ketulusan dan kepercayaan.

“Benar setia itu terkadang menyakitkan, tetapi kita perlu percaya mereka yang setia pada akhirnya ada sinar menanti.

“Presiden UMNO mengerti falsafah ini kerana itu walau apa terjadi kesetiaan pada parti tanpa kompromi.

“Meskipun ia bermaksud lilin membakar diri,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, terlalu ramai menyebut tentang erti kesetiaan kebelakangan ini namun adakah mereka faham tentang erti sebenar kesetiaan.

Dalam konteks umum, katanya,  kesetiaan dianggap perkara terpenting dalam sesebuah hubungan manakala dalam konteks agama kesetiaan jauh lebih bermakna.

“Kesetiaan kepada negara adalah tentang jati diri dan nasionalisme. Perasaan cintakan tanah air yang tidak berbelah bahagi.

“Tatkala berkata mengenai kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu, ia lambang Malaysia sebuah negara berdaulat.

“Kesetiaan kepada pasangan hidup merupakan pemangkin kepada kesejahteraan institusi kekeluargaan,” katanya.

Justeru, katanya, dalam aspek definisi kata-kata, kesetiaan membawa banyak makna.

Namun pada prinsipnya semata-mata tentang keteguhan hati.

Bak kata ilmuan, kesetiaan bererti ketelusan untuk menyimpan satu dalam hati dan berjanji tidak mengkhianati. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: