HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

Muhyiddin hendak belanja apa tanpa kelulusan Parlimen

SHAHRIL HAMDAN

 Malaysiakini

ULASAN l Pindaan Ordinan Darurat semalam memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri - mengingatkan kita bahawa demokrasi di Malaysia sedang tergendala.

Dari sudut kesahihan dan keabsahan pindaan ordinan ini, tiada pertikaian. Benda sudah berlaku. Kerajaan ada kuasa tersebut dan jelas mereka tidak segan hendak menggunakannya.

Tetapi belum ada sebarang penjelasan apa tujuan mereka "bypass" atau membelakangkan Parlimen dan DUN?

  • Hendak belanja beli laptop untuk Pembelajaran di Rumah (PdPR)?
  • Menjamin peluang kerja untuk ratusan ribu anak muda, termasuk yang akan tamat pengajian? Belum jelas apa laporan Majlis Pekerjaan Negara yang agak sunyi dalam KPInya mewujudkan 500 ribu pekerjaan.
  • Menarik pelabur dari Korea Selatan dan Jepun? Bagaimana mengurus keyakinan pelabur yang semakin merudum untuk melabur dalam negara yang menghentikan fungsi semak imbang wakil rakyatnya?
  • Mempercepat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik?

Meskipun sudah terlepas tanggungjawab prosedur demokrasi berparlimen buat masa sekarang, kerajaan wajar mengambil tanggungjawab moral untuk sekurang-kurangnya memaklumkan perancangan perbelanjaan tambahan.

Sepatutnya kalau perancangan itu baik, ahli-ahli Parlimen pun akan luluskan. Tapi sekarang dengan pindaan ordinan, tak perlu takut. "Confirm" boleh belanja.

Maka, jelaskanlah kepada umum apa perancangan perbelanjaan itu. Barangkali kerajaan boleh mempertimbang komentar dan kritikan membina ke arah penambahbaikan - sepertimana Belanjawan 2021 tempoh hari.

Akhirnya, kuasa masih di kerajaan - tetapi bukalah sedikit ruang akauntabiliti.MALAYSIAKINI


(*) SHAHRIL HAMDAN merupakan ketua penerangan Pemuda Umno.

Tiada ulasan: