HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

RM2 juta bukan untuk Ku Nan tapi sumbangan politik

 

Tengku Adnan.

PUTRAJAYA – Pihak pembelaan hari ini berhujah bahawa wang RM2 juta yang diterima bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan bukan kegunaan peribadi sebaliknya wang itu adalah sumbangan politik.

Pada hari pertama pendengaran kes itu di Mahkamah Rayuan di sini hari ini peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ku Nan selaku perayu memaklumkan bahawa saksi pendakwaan (SP) ke-19 iaitu Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd. (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong mengesahkan pembayaran RM2 juta itu adalah sumbangan politik setelah tertuduh memaklumkan UMNO memerlukan dana politik antara RM5-6 juta untuk pilihan raya kecil.

“Ia dibuktikan apabila saksi itu ketika disoal balas pihak pendakwaan yang jelas menyatakan bahawa cek dikeluarkan sebanyak RM2 juta untuk dana politik UMNO dan bukannya untuk perayu (Tengku Adnan) selain saksi itu turut mengakui sumbangan RM2 juta adalah untuk sumbangan politik bagi dua pilihan raya kecil (PRK) pada 2016 (Kuala Kangsar) dan (Sungai Besar).

Sementara, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Musa pula berhujah tertuduh telah memperoleh RM2 juta untuk kepentingan diri sendiri dan bukan sumbangan politik apabila wujudnya ketiadaan rekod yang teratur berdasarkan resit yang diperoleh mengenai pemberian dana itu kepada UMNO.

Malah beliau juga berhujah, keterangan bahawa wang itu untuk derma politik hanya timbul semasa pemeriksaan balas saksi keenam pendakwaan iaitu Ketua Pegawai Operasi Tadmansori, Datuk Mohd. Hasbi Jaafar dan tidak pernah dimaklumkan kepada pegawai siasatan ketika siasatan berlangsung.

“Pendakwaan berhujah saksi ke-19 (Kin Kong) hanya dimaklumkan tujuan dana oleh tertuduh tetapi tidak tahu sama ada wang itu benar-benar digunakan sebagai dana politik.” katanya.

Dalam prosiding itu, rayuan tersebut didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Suraya Othman yang turut bersidang bersama Hakim bersama dua lagi panel hakim iaitu Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin.- K! ONLINE

Tiada ulasan: