HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

Umno hilang lebih banyak kerusi jika bersendirian' - PAS

Malaysiakini

Pemimpin PAS berpandangan Umno dijangka kehilangan lebih banyak kerusi sekiranya bertanding secara bersendirian pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah secara peribadi berkata ia susulan penolakan yang dihadapi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

"Saya jangka dengan keadaan yang ada hari ini Umno akan hilang lebih banyak kerusi jika bertanding secara bersendirian.

“Sebab itu kita nak ketiga-tiga parti ini bersama, dan kita selesaikan isu-isu yang jadi pertikaian, kita cuba selesaikan setakat yang mampu,” katanya.

“Kita ambil kayu ukur pilihan raya sebelum ini, (berlaku) penolakan apabila Umno dengan kepimpinan yang ada dan kepimpinan Umno masih kekal.

“Kepimpinan yang ada ini kepimpinan yang telah ditolak baru-baru ini," katanya kepada media pada sidang media selepas majlis prapelancaran Projek Solar Terapung Danau Tok Uban, di Pasir Mas, hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Umno untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 akan datang.

Terdahulu Umno dilaporkan membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Sementara itu Mohd Amar berpendapat, majoriti orang Umno sama ada pimpinan dan ahli bawahan lebih suka parti itu bersama PAS dan Bersatu.

"Majoritinya nak kekal dalam tiga parti, kita harap suara ini akan mengubah keadaan, saya nampak segelintir saja yang tak setuju.

"Umno ini kena susun balik, kalau dia (Umno) pergi dengan macam itu, pandangan saya dia tak boleh pergi jauh," katanya sambil menegaskan usaha untuk memulihkan hubungan Umno dan Bersatu masih berjalan.

Diitanya mengenai perkembangan dalam PN katanya PAS dan Bersatu akan mempertahan dan mengukuhkan kerjasama dalam PN dan meneruskan hubungan dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

"Hubungan kita (PAS) dengan Umno masih berjalan dalam Muafakat Nasional. Cuma komitmen kita, kita nak kedua-dua. Dengan Umno pun kita nak bekerjasama dan dengan Bersatu pun kita nak kerjasama.

"Sebab kita melihat dari segi keperluan politik yang ada. Dalam tinjauan dan kajian yang kita buat tiada parti yang boleh berdiri sendiri," jelasnya.

Tiada ulasan: