Bernama
Sivamurugan
berkata sekiranya UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak
meneruskan
kerjasama dengan PN, ia seharusnya dibuat ketika keadaan
negara lebih
menentu dan stabil. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR:
UMNO seharusnya akur dengan kebolehan dan sumbangan semua menteri
daripada parti itu, sekali gus 'merestui' mereka untuk terus kekal
berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis
politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata apa yang utama buat masa
ini adalah agenda, usaha dan perancangan kerajaan dapat diteruskan untuk
kepentingan rakyat serta negara.
"Keberadaan
mereka dalam Kabinet harus dilihat dengan cara ia bukan berikan
kelebihan kepada PN atau sesiapa tetapi sebenarnya untuk rakyat,"
katanya dalam program 'Malaysia Petang Ini' yang disiarkan secara
langsung di Bernama TV semalam.
Katanya,
penglibatan mereka dalam kabinet menandakan pemimpin UMNO itu diberi
pengiktirafan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat
sumbangan dan peranan mereka itu besar dan memberi makna.
"Dalam
konteks sekarang ini, parti harus memberikan keutamaan kepada apakah
sumbangan parti kepada rakyat dan biarkan rakyat sendiri menilai
pemimpin atau pun tokoh yang menjadi anggota Kabinet itu.
"Sudah
pasti ahli parti juga harus melihat kenapa perlu khuatir dengan
kebolehan pemimpin mereka yang diberikan jawatan oleh Perdana Menteri
sendiri yang mana keterlibatan mereka dalam perancangan kerajaan sejak
awal memberikan impak," katanya.
Beliau,
yang juga Pensyarah Sosiologi Politik dari Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), berkata sekiranya UMNO
kekal dengan pendirian untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PN, ia
seharusnya dibuat ketika keadaan negara lebih menentu dan stabil.
Katanya,
ini bagi mengelakkan rakyat dari menyalahkan pemimpin UMNO kononnya
mereka lebih mengutamakan kepentingan atau personaliti tertentu daripada
kepentingan rakyat.
"Hari ini rakyat
meneliti, memahami dan juga melihat apa yang berlaku dan dikhuatiri itu
akan memberikan impak besar jika keputusan-keputusan seperti ini dibuat
dalam masa yang tidak sesuai.
"Barangkali
harus menunggu sehingga keadaan lebih stabil dan lebih menentu...
ketika itu keputusan barangkali lebih bersifat rasional daripada
bersikap emosional," katanya.
Sivamurugan
berpendapat keputusan untuk kekal dalam kerajaan tidak menandakan
bahawa menteri-menteri tersebut ingkar kepada suara akar umbi
memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membuat keputusan bila
mereka perlu keluar dan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
"Tiada
satu keputusan yang dibuat kecuali kenyataan beberapa pemimpin yang
mendesak supaya para menteri UMNO ini segera keluar dari Kabinet... ia
tidak selari dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO
untuk memberikan mandat pada MT untuk membuat keputusan," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan