KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipohon untuk campur tangan mengenai penangguhan undi 18 tahun (Undi18) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut Gabungan Generasi Baharu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah gagal melaksanakan dasar-dasar kerajaan terdahulu iaitu Pakatan Harapan (PH) yang merintis kepada pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.
Presiden Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 masih belum dapat dilihat lagi perkembangannya setakat ini.
“Kita lihat pada hari ini Undi18 ini masih lagi belum ada roadmap yang jelas, kita akan beri tekanan.
“Ahli-ahli Parlimen kita lihat banyak memberikan kenyataan menekan SPR tapi sejauh mana SPR untuk memandang serius tekanan ini atau respon, kita tak nampak SPR buat begitu dan kita mintak campur tangan Yang di-Pertuan Agong.
“Yang di-Pertuan Agong adalah institusi yang bebas, dan tidak mewakili mana-mana parti politik agar memanggil SPR dan meminta mereka memberikan laporan lanjut tentang perjalanan Undi18,” kata Zambri.
Tujuh NGO itu adalah Gerakan Belia 4B Malaysia, Keilmuan Nasional, Gabugnan Pelajar Melayu Semanjung (GPMS), Majlis Belia India Malaysia, Majlis Belia negeri Perak, majjlis Belia Wilayah Persekutuan dan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).
Gesaan itu, menurut Zambri, adalah kerana pihaknya telah hilang keyakinan kepada SPR untuk melaksanakan Undi18 dalam masa terdekat.
“Kita kurang yakin setakat ini kepada SPR untuk laksana Undi18, kita akan terus berikan tekanan kepada SPR,” katanya lagi.
Isnin lalu, Pertubuhan Keilmuan Nasional dan Gerakan Belia 4B menyerahkan memorandum kepada SPR bagi menggesa supaya pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun disegerakan.
Ia selepas Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Abdul Ghani berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan