HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2022

'Pengundi kita masih setia totok kepada parti'

Pengundi terutama di luar bandar dikatakan tidak peduli kepada faktor individu calon, sebaliknya akan memberi sokongan kepada parti yang sudah turun temurun menjadi pilihan keluarga. - Foto hiasan BERNAMA
Pengundi terutama di luar bandar dikatakan tidak peduli kepada faktor individu calon, sebaliknya akan memberi sokongan kepada parti yang sudah turun temurun menjadi pilihan keluarga. - Foto hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isu legasi kesetiaan kepada parti tertentu masih menjadi antara faktor utama untuk pengundi terutama di kawasan pedalaman memberi sokongan kepada calon pilihan raya.

Kalangan penganalisis politik berpendapat pengundi luar bandar biasanya tidak peduli kepada faktor individu calon yang ditampilkan, sebaliknya akan memberi sokongan kepada parti yang sudah turun temurun menjadi pilihan keluarga.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, sokongan berbentuk warisan turun temurun selain akses maklumat yang terhad di kawasan pedalaman berupaya menjadi 'deposit tetap' buat parti konservatif seperti UMNO dan PAS.

Ini dibuktikan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini yang mana ada parti yang tidak berjaya meskipun mempunyai pemimpin yang dikatakan dekat dengan rakyat.

"Kenyataan bahawa (personaliti) individu lagi penting berbanding parti adalah tidak terpakai dan tidak tepat malah kurang sesuai untuk konteks landskap politik negara.

"Contohnya di PRN Melaka. Walaupun adanya wajah pemimpin yang disenangi rakyat, parti yang dianggotainya tetap tidak berjaya (menubuhkan kerajaan negeri).

"Di kawasan pedalaman, pengundi cenderung kepada parti kerana sokongan berbentuk warisan turun temurun dari datuk kepada ayah kepada anak, maka siapa pun calon mereka tetap pilih parti yang sama.

"Malah akses maklumat yang terhad juga memperlahankan penyampaian maklumat dan keterbukaan pengundi di kawasan pedalaman," katanya kepada BH.

Pada PRN Melaka, Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN menang dua kerusi menerusi calon BERSATU manakala PAS yang bertanding di lapan DUN kalah semua.

Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, melalui Twitter bahawa kebanyakan pengundi dilihat sudah mula berpendirian bahawa faktor individu iaitu siapa yang harus dipilih lebih penting berbanding parti mana yang dipilih di musim pergolakan politik ini.

Pada masa sama, Mohammad Tawfik berkata, landskap politik Malaysia bukannya seperti di negara luar seperti Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) di mana pengaruh individu memang penting dalam memenangi hati pengundi.

Sebaliknya beliau berkata, selain kepentingan parti politik itu sendiri, elemen persepsi turut memainkan peranan untuk menyumbang kepada kemenangan pada satu-satu pemilihan.

"Dalam konteks pengundian di Malaysia, kalau sesebuah parti politik berjaya menangani persepsi, mereka boleh memenangi pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan: