HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Tiada faktor untuk bubar DUN Kedah, terserah pada PAS – Zahid

MALAYSIA POST

Tiada faktor untuk bubar DUN Kedah, terserah pada PAS – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendapat, tiada faktor untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan ketika ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menurut beliau, tiada faktor untuk bubar melainkan jika Menteri Besar, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor dan PAS merasakan rakyat telah menolak pentadbiran kerajaan negeri itu.

Katanya, mengikut Undang-undang Tubuh sesebuah negeri, seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri akan menasihati Raja Memerintah sama ada sesebuah DUN perlu dibubarkan untuk mengadakan PRN.

“Saya tak nampak ada faktor untuk DUN (Kedah) dibubarkan kecuali Menteri Besar dan partinya merasakan rakyat telah menolak pentadbirannya, maka, itu adalah merupakan perkiraan kepada parti berkenaan,” katanya memetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi kediaman rakannya, Beh Song Wan sempena Tahun Baharu Cina di Hutan Melintang, di Bagan Datuk hari ini.

Beliau mengulas khabar angin kononnya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengulangi bahawa mereka akan bertanding secara solo dalam PRN Johor, seperti yang diambil pada PRN Melaka.

Menurutnya, parti-parti komponen BN yang terdiri dari Umno, MCA dan MIC akan memperkasakan gerak kerja serta jentera di samping meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN di Johor.

“Strategi BN bertanding dengan mengambil kira bahawa trend sokongan telah datang semula kepada BN.

“Untuk itu sebagai mana yang berlaku dalam PRN Melaka, acuan yang sama kita akan gunakan dalam PRN Johor,” ujarnya.

Mengenai rundingan untuk kerjasama dengan PAS dalam PRN Johor, Ahmad Zahid berkata, beliau masih belum dimaklumkan hasil perbincangan antara Pengerusi BN Johor dan Pesuruhjaya PAS negeri itu.

“Saya merasakan Johor adalah medan untuk menguji sejauh mana BN diterima semula oleh pengundi dan ia adalah medan ujian untuk melihat tahap sokongan pengundi-pengundi pertama kali, terutama pengundi 18 tahun dan pengundi yang didaftarkan secara automatik,” tambahnya.

Menurut Ahmad Zahid, BN harus dominan semula di Johor kerana parti itu dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru dan ia akan menjadi asas yang akan digunakan parti itu dalam PRN Johor. – Malaysiapost

Tiada ulasan: