HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Februari 2022

Jangan ulangi kesilapan PRN Melaka

MALAYSIA POST

Muafakat Nasional Perpaduan Ummah - Home | Facebook

MELAKA– “Jangan ulangi kesilapan yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka,” demikian tegas bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek.

Menurutnya, Pas Johor harus menyatakan pendirian mereka sendiri sama ada ingin bersama Bersatu dalam PN atau Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Beliau menegaskan, pucuk pimpinan parti itu wajar memberi kelonggaran bagi menilai cadangan dan pandangan daripada Pas Johor terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang mungkin merugikan
parti itu sendiri.

“Saya tidak mahu nasib Pas Johor sama dengan Pas sewaktu PRN Melaka November tahun lalu. Kita tewas lapan kerusi yang ditandingi.

“Kelonggaran itu wajar diberikan memandangkan Pas Johor lebih mengetahui dengan parti mana yang mereka lihat paling menguntungkan untuk berada dalam kerajaan selepas PRN nanti,” ujarnya di sini hari ini.

Sehubungan itu menurut Kamaruddin, Pas Johor mesti menyatakan pendirian mereka bagi menghadapi PRN tidak lama lagi walaupun Pas pusat mempunyai pendirian sendiri.

Menurutnya, apa yang membimbangkannya jika keputusan yang dibuat tidak menguntungkan, parti itu bukan bakal kehilangan satu kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) malah kesemua kerusi yang ditandingi pada PRN Johor nanti.

“Sudah tentu ahli akar umbi tidak mahu nasib parti di Johor sama seperti di Melaka. Kita mesti nak menang lebih daripada satu kerusi atau sekurang-kurang menang antara empat atau lima,” ujarnya lagi.

Menurutnya, PRN Johor amat penting buat parti itu yang akan menentukan hala tuju sebenar menghadapi PRU-15 nanti.

Jika gagal di Johor katanya, imej parti itu pasti tercalar dan memberi kesan dalam kalangan ahli akar umbi.

Tiada ulasan: