HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Keadaan baik-baik sahaja, kata MB Kedah berhubung spekulasi PRN


Walaupun pelbagai spekulasi dikatakan berhubung berkemungkinan satu lagi pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan di Kedah, Menteri Besarnya (MB), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tenang dan tidak tergopoh-gapah melayani karenah pihak yang tamak kuasa.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu menyifatkan spekulasi tersebut direka oleh pihak tertentu yang cuba merosakkan keharmonian politik di negeri itu dan berseloroh setakat ini tidak ada ribut mahupun pokok bergoyang.

“Tak ada ura-ura. Tak ada angin. Tak ada ribut dan tak ada pokok bergoyang.

“Saya tak tahu siapa yang sengaja reka cerita tak masuk akal ini.

“Kedah baik-baik sahaja. Pihak-pihak di negeri lain boleh contohi keamanan dan kestabilan yang terbina dan terpelihara di Kedah,” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini.

Malah Sanusi berkata negeri lain boleh contohi keamanan dan kestabilan yang terbina di Kedah.

Sanusi mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengakui tidak tahu situasi sebenar dalam kerajaan negeri Kedah berhubung ura-ura berlaku PRN Kedah pula.

Sanusi dipilih sebagai MB Kedah pada 2020 selepas kerajaan PH diketuai oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir tumbang. Sanusi kini mempunyai sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

PAS mempunyai 15 kerusi dan disokong oleh Bersatu yang memiliki enam kerusi menjadikan jumlah wakil rakyat di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah seramai 21 orang.

Sementara itu, UMNO kini memiliki dua ADUN di Kedah dan secara teknikal tidak mampu menumbangkan kerajaan negeri yang hanya memerlukan 19 kerusi untuk membentuk majoriti mudah.

Tiada ulasan: