PERANG Facebook antara dua bekas Perdana Menteri berterusan seiring dengan bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab tuduhan pengkhianatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika PRN Sabah termasuk isu calon Ketua Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula memberi respons balas.
Tidak sampai 24 jam kemudian, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu terus mempertahankan hantarannya semalam berhubung isu menamakan calon Ketua Menteri yang baginya jelas disebut bayangan.
“Semasa saya hadir mengumumkan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sulaman, saya beri bayangan “manalah tahu kalau rakan-rakan dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju, Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah”.
“Saya ulang, saya beri bayangan kalau rakan-rakan lain bersetuju.
“Saya cakap secara berhemah. Kalau Datuk Seri Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macam mana?,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Tambah Muhyiddin, apabila beliau maklumkan UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri Sabah sehingga habis kempen, itu adalag fakta.
“Datuk Seri Najib mungkin tak faham bahasa saya.
“Bila saya kata UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri Sabah sehingga habis kempen itu fakta.
“Takkanlah saya nak tunggu sehingga habis kempen baru nak dinamakan calon,” jelasnya.
Najib dalam respons balasnya berhubung kenyataan Muhyiddin malam tadi membangkitkan Hajiji dinamakan sebagai calon Ketua Menteri sebelum kempen PRN Sabah tamat.
“Awal-awal lagi dia (Muhyiddin) sudah rancang – bukan sehingga tempoh kempen tamat seperti dalam kenyataan dia tadi,” dakwa Najib.
Bekas Presiden UMNO itu juga dalam hantaran terbarunya petang ini terus membangkitkan isu masa yang dipilih bagi menamakan calon Ketua Menteri Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan