KLUANG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali kekal menjadi taruhan DAP bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pilihan Raya dan Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) N 30 DUN Paloh, hari ini.
Guan Eng berkata, pemilihan semula Naib Pengerusi DAP Johor yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri itu bukan sahaja kerana beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, tetapi juga berdasarkan prestasi sebagai EXCO kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH sebelum ini.
Katanya, DAP akan mengunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor nanti dengan manifesto bersama butirannya akan diumumkan selepas proses penamaan calon.
"Sebagai calon mewakili PH, Sheikh Umar menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor, di mana kita umumkan niat berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor supaya kita ada harapan yang lebih baik," katanya.
Pada PRU-14, Sheikh Umar menang dengan majoriti 783 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Teoh Yap Kun dan calon Bebas, M Shamugam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan